Rabu,30 Julai 2014

Dekorasi bangkit mood pelanggan

Oleh Hartini Mohd Nawi

KESEMPURNAAN dekorasi antara terapi semula jadi yang dapat memberikan suasana segar, selesa dan menyenangkan.

Penataan lengkap untuk ruang kediaman, pejabat atau kedai membolehkan sesiapa yang datang dapat menghayati suasana sebenar.

Inilah yang dilakukan Al-JabBar Sports.Com di Seksyen 8, Seri Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor bagi menawarkan suasana membeli-belah yang selesa dan tenang.

Secara tidak langsung, cara letak dan dekorasi kedai barangan sukan itu dapat membangkitkan mood pelanggan yang membeli-belah.


Tanpa mengehadkan ruang pergerakan di segenap sudut, setiap reka letak peralatan atau barangan sukan di kedai itu nampak menarik dan sesuai dengan konsep kedai sukan.


Ketua Pegawai Eksekutif Al-Jabbar Group Sdn Bhd (Al-Jabbar), Kamaruzaman Che Hussain berkata, kos dekorasi dan barangan sukan Al-JabBar Sport.Com menelan belanja kira-kira RM200,000 semata-mahu mahu memberi kepuasan kepada pelanggan.

Beliau berkata, walaupun kedai barangan sukan, susun atur yang menarik selain hiasan dalaman memberi keseronokan kepada orang ramai membeli-belah.

“Kesempurnaan penataan ruang juga penting bagi pelang­gan menghabiskan masa di kedai ini.

“Selain di Bandar Baru Ba­ngi, saya juga melakukan susun atur yang sama di cawangan Al-JabBar Sport.Com di Semenyih,” katanya.

Menurutnya, Al-JabBar Sports.Com menawarkan pakaian sukan berjenama seperti Adidas, Nike, Diadora, Lotto, Reebok, Umbro dan Kappa serta aksesori sukan.

Lebih istimewa, Al JabBar Sports.Com turut menawarkan pakaian sukan dan aksesori The Red Warrior yang memberi dimensi baru kepada peminat sukan tanah air khusus­nya penyokong bola sepak Kelantan.

“Dalam usaha memberikan keselesaan kepada pelanggan, setiap produk sukan yang dipamerkan dengan reka letak menarik untuk memudahkan pilihan dibuat.

“Reka letak daripada pilihan pakaian, kasut hingga peralatan sukan disusun menarik dan selari supaya pelanggan tidak tercari-cari produk pilihan atau terlepas pandang,” katanya.

Bermula dengan aneka pilihan terbaik termasuk pakaian dan kasut sukan berjenama khususnya untuk bola sepak serta futsal, keindahan dekorasi lebih menyerlah dengan susun letak sedap mata memandang.

Pada latar dinding pula, rona pilihan berunsurkan keceriaan, kecergasan dan keharmonian turut mewarnai ruang dengan perlambangan tersendiri.

Kelihatan rona oren, hijau dan hitam antara warna utama yang melatari ruang dinding dengan garapan idea penuh seni memukau.

“Kami sedia maklum pilihan warna ceria sebagai lambang kecergasan dan gaya hidup sihat masyarakat negara ini seharusnya diketengahkan selari fungsi Al-JabBar Sports.Com.

“Ia juga antara daya tarikan utama kepada pelanggan sebaik melewati kedai ini dan mendorong untuk singgah, sekali gus membeli barangan sukan,” katanya.

Waktu operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari itu memberi peluang sepenuhnya kepada pelanggan untuk berkunjung ke kedai barangan sukan itu bila-bila masa.

Katanya, Al-JabBar Sports.Com di Bandar Baru Bangi dan Semenyih, Selangor, dilancarkan bagi mempelbagaikan perniagaan, apatah lagi bidang sukan kini berpotensi besar.

“Kami akan membuka beberapa cawangan baru Al JabBar Sports.Com di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, Kota Bharu dan Kubang Kerian, Kelantan.

Selain itu Al JabBar Sports.Com menyasarkan untuk membuka 20 cawangan di seluruh negara tahun ini selain Indonesia,” katanya.

Berminat, kunjungi Al-JabBar Sports.Com di No 35 & 36, Seri Bangi, Jalan 8/35, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor atau talian 03-87393206.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/28
`