Jumaat,14 Februari 2014

Dua tangkapan dadah di Selangor dalam tempoh 24 jam

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan empat lelaki dan merampas 5.11 kilogram dadah jenis heroin dan ganja bernilai RM60,200 di dua lokasi berasingan dalam tempoh tidak sampai 24 jam dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Nordin Kadir berkata dalam kes pertama pada 3.45 petang pada Isnin, pihaknya menahan dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun dalam sebuah kereta di kawasan R&R Ulu Bernam di Lebuh Raya Utara Selatan.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam kereta itu menemui sebuah beg berwarna hitam mengandungi lima bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 2.27 kilogram dan bernilai RM50,000.

"Dari siasatan awal dipercayai kedua-dua suspek telah bergiat lebih kurang empat bulan dalam pengedaran dadah di Lembah Klang," katanya.


Dalam satu lagi kes, anggota polis menahan dua lelaki masing-masingnya berumur 35 dan 37 tahun di Jalan Persiaran, Batu Tiga di sini, pada 12.30 pagi semalam dan merampas tiga ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 2.84 kilogram bernilai RM10,200.


"Seorang suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau iaitu mencuri manakala seorang lagi seorang positif syabu dan ganja," kata Nordin. -- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/15
`