Sabtu,20 September 2014

Kekasihku suami orang

SAYA buntu berdepan masalah menyintai kekasih yang juga suami orang. Kami bertemu di alam maya secara tidak sengaja. Pada mulanya, kami hanya menjalin hubungan sebagai rakan, lama kelamaan ia berubah kerana saya tertarik dengan sikapnya yang sangat mengambil berat.

Saya boleh dikatakan gadis cantik dan menarik, justeru tidak hairan dia mahu menjadikan saya kekasih. Hati saya sudah terpaut pada teman lelaki biarpun menyedari banyak risiko bakal dihadapi.

Kekasih tua enam tahun daripada saya tetapi dia masih nampak segak.

Pada awal pengakuannya, saya sangat sedih namun sukar melupakannya. Malah kekasih saya itu menyatakan keinginannya memperisterikan saya asalkan setuju.


Saya tidak mahu mengganggu kebahagiaan wanita lain kerana bapa juga pernah melakukan perkara sama pada ibu. Saya rasakan itu tidak adil meskipun ibu bersikap biasa. Saya tahu peritnya hati ibu kerana sering melihat dia menangis.


Pengalaman ibu menyebabkan saya tidak mahu berkawan dengan lelaki berstatus suami.

Malangnya, ini takdir saya. Bantu saya Dr.

Serba salah,
KELANTAN




FITRAH manusia saling menyintai dan jatuh cinta selain hidup berpasangan. Lebih membahagiakan lagi apabila menemui insan yang dirasakan dapat membahagiakan diri kita.

Cinta yang berputik di alam maya bukan perkara luar biasa pada masa kini malah cukup mudah mengenali insan lain melalui Internet atau blog.

Cinta adik terus bercambah, mulanya sebagai rakan biasa namun sudah bertukar menjadi kekasih. Pada situasi biasa ia tidak menimbulkan konflik jika berstatus bujang, malangnya dia suami orang.

Dr faham konflik adik tapi kata orang, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Adik sayang padanya namun tidak mahu mengganggu kebahagiaan wanita lain.

Apatah lagi ibu hidup bermadu menyebabkan lebih tertekan menghadapi konflik ini sementara kekasih sudah memperlihatkan niatnya yang ikhlas ingin memperisterikan adik. Jelas dia serius dan tidak main-main.

Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam kehidupan berpasangan, kerana itulah membenarkan poligami.

Bagaimanapun ia diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab melalui amalan keadilan termasuk giliran dan nafkah.

Hanya adik boleh membuat keputusan dan ikhlas mendengar suara hati serta kemampuan diri sendiri. Tanyakan, adakah adik sudah benar-benar bersedia untuk bermadu serta berkongsi suami dengan orang lain?

Bersediakah adik melaluinya? Fikirkan kerana semuanya terletak di tangan sendiri.

Poligami sangat sensitif kepada golongan wanita terutama isteri pertama yang merasakan suami adalah hak mutlak mereka.

Ditakdirkan adik berkahwin, adakah kekasih sudah sedia memainkan peranan dalam menentukan kebahagiaan perkahwinan.

Keputusan terletak di tangan adik. Kalau menerimanya risikonya tetap ada, begitu juga sebaliknya.

Bagaimanapun, jika adik ambil keputusan tidak menerima lamaran itu, belajarlah perlahan-lahan untuk melupakannya meskipun sukar.

Tapi percayalah, masa akan membantu adik melupakannya.

Jangan biarkan diri hanyut dengan persoalan dan emosi, lakukan aktiviti yang membolehkan adik belajar melupakan kekasih serta berdoa akan menemui kebahagiaan hidup.

Dr doakan kebahagiaan adik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12
`