Ahad,20 April 2014

Pameran 50 karya kaligrafi, lukisan Islam

KUALA LUMPUR: Pameran lukisan solo karya Abdul Ghafur Tahir bertemakan 99 Mengakui KebesaranNya, di Lobi Utama Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP) bermula semalam hingga 28 Januari ini menampilkan 50 karya lukisan menarik berbentuk kaligrafi dan lukisan Islam.

Pelukis kelahiran Banting, Selangor itu mengungkap rasa kekaguman dengan kebesaran Yang Maha Esa dan atas keprihatinan serta minat yang mendalam terhadap bidang seni lukis sejak daripada kecil mendorong dirinya untuk menghasilkan pelbagai lukisan menarik bercorakkan ketuhanan. Abdul Ghafur, 50, berkata kesukaran untuk mendapatkan lukisan berbentuk kaligrafi Islam sebelum ini menjadi antara faktor utama dirinya memilih untuk berkecimpung dalam bidang tersebut khusus bagi mengatasi masalah itu.


“Saya melahirkan rasa kesyukuran terhadap Ilahi kerana selepas beberapa tahun terbabit dalam bidang ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada peminat seni lukis bercirikan keislaman,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pameran Lukisan di NSTP, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan daripada hasil lukisan yang dihasilkannya menggunakan warna-warna yang ceria terutamanya merah kerana hasil kajian yang dilakukannya selama 20 tahun mendapati warna merah adalah warna yang menjadi kegemaran rakyat negara ini.


“Saya banyak bermain dengan warna untuk menghasilkan sebuah lukisan yang menarik dan antara lukisan yang berjaya menarik minat orang ramai adalah lukisan hijrah 70 dan hijrah 71 yang mana lukisan itu membawa maksud berkaitan perubahan daripada kemungkaran kepada kebaikan,” katanya.


Menurutnya, antara lukisan termahal yang mengandungi 99 nama-nama Allah turut dipamerkan sepanjang program pameran itu dijalankan selain beberapa lagi lukisan unik seperti nama-nama surah, zikir, dan ayat kursi yang dihasilkan dengan penuh rasa kecintaannya terhadap kesenian lukisan Islam. “Kini saya sedang menyiapkan lukisan al-Quran terbesar yang mana proses tersebut benar-benar menguji tahap kesabaran saya untuk menghasilkan setiap ayat sehingga selesai dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/04
`