‘7 dosa besar’

‘7 dosa besar’



Najib berkata, dosa besar itu adalah PAS tidak mempertahankan kalimah Allah apabila dipersendakan sekutunya, DAP selain mengurniakan lebih 4,000 hektar tanah di Kelantan kepada pemimpin DAP.


Katanya, Kerajaan PAS Kelantan turut berdosa kerana menggondolkan hutan di Lojing dan Naib Presiden PKR, Tian Chua pula adalah pemimpin keji kerana menghina pasukan keselamatan yang sedang berjuang di Sabah. “Mereka (PAS) juga menipu rakyat apabila berkata tahaluf siyasi Barisan Nasional (BN) tidak betul sedangkan PAS bekerjasama dengan DAP.


“Dosa terakhir mereka ialah mempermainkan matlamat manifesto apabila menukar daripada negara Islam kepada negara kebajikan dan hilang hukum hudud. Mereka ini belawok (berbohong),” katanya ketika berucap pada Majlis Bekwoh Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1, di sini, semalam.


Ia dihadiri kira-kira 45,000 orang.


Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi MCA negeri merangkap Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Penyelaras BN Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz. Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, rakyat Kelantan bersedia menukar Kerajaan PAS Kelantan yang memerintah sejak lebih 20 tahun lalu.


Katanya, mereka mahukan transformasi yang dilaksanakan BN kerana perubahan itu adalah rahmat untuk rakyat.


“Kita ada produk dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kita bukan haiwan kerana ini untuk tolong rakyat, itu adalah kebajikan yang kita laksanakan,” katanya. Menurutnya, pembangkang hanya bijak berjanji tetapi tidak pernah menunaikannya.


“Puak itu janji macam jual ubat tepi jalan. Pilihan raya bukan untuk orang yang pandai cakap sebaliknya memberi keyakinan kepada rakyat untuk mentadbir dan membawa perubahan untuk masa depan negara,” katanya.