Ahad,21 September 2014

‘Mana RM170,000 saya’

Kuala Lumpur: “Saya sudah memberikan hasil kerja yang terbaik kepada mereka (butik), bukannya saya ini makan gaji buta.

“Semua tanggungjawab sudah dijalankan, maka pemilik butik perlu membayar semua baki RM170,000 seperti mana dijanjikan,” kata pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, 31.


Kekecewaan itu dilahirkan Ezuwan sejurus mendakwa ditipu seorang pemilik butik terkenal yang enggan membayarnya baki wang komisen RM170,000 selepas mereka terbabit sama penghasilan produk pakaian dan fesyen terbaru, Oktober tahun lalu.

Menurutnya, pada awal Oktober lalu, dia menandatangani perjanjian bersama pemilik butik itu di ibu kota. malah urusan berkenaan disaksikan pihak media menerusi sidang media diadakan.


“Melalui perjanjian, saya ditugaskan mempromosikan produk mereka (pakaian dan tudung) iaitu menggunakan nama saya selain memberikan idea dalam menambah baik pentadbiran butik. Semua sudah dilakukan tetapi wang tidak dibayar,” katanya.


Kata Ezuwan, ketika perjanjian dia ditawarkan bayaran sama ada menerimanya dalam bentuk komisen atau bayaran ‘lump sum’ (penuh) RM300,000.

“Saya memilih bayaran ‘lump sum’ selepas memikirkan ia berbaloi dengan pengalaman dimiliki,” katanya.


Menurutnya, pada awal perjanjian dia dibayar pendahuluan RM130,000 dan bakinya dibayar penghujung Disember lalu kerana kerjasama adalah tiga bulan.

“Namun sehingga kini, pemiliknya gagal menunaikan janji dan jika bertanya mengenai baki wang, dia sering mengelak,” katanya memaklumkan akan membawa kes itu ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12
`