30 rekaan eksklusif

30 rekaan eksklusif

Oleh Yanie Baharom
yanie@mediaprima.com.my


Apa yang menarik mengenai rekaan Bianco Mimosa kali ini, jurumekap terkenal, Deq Sha selaku penasihat jenama berkenaan bersama pereka fesyen Faizal Abdullah dan Jasmi Rejab, bergabung idea bukan saja untuk setiap rekaan yang diilhamkan.

Malah, cetakan digital pada kain juga adalah hasil idea mereka bersama, menjadikan koleksi Bianco Mimosa cukup eksklusif.

Mengambil inspirasi dari kehebatan jenama Roberto Cavalli dan Versace, warna terang sehing­galah yang gelap membuatkan 30 rekaan yang dipersembahkan kepada tetamu tidak menjemukan mata memandang.

Pelancaran ini dilihat sebagai satu permulaan, kerana selepas ini Bianco Mimosa merancang untuk memperkenalkan koleksi ‘ready to wear’ buat muslimah yang mementingkan gaya hebat.

Menyentuh keunikan perlancaran jenama itu, ia dilangsungkan dalam sebuah majlis resepsi gilang-gemilang membabitkan perkahwinan VIP, Dato’ Ida Suraya dan Kapten Johan.

Dato’ Ida Suraya selaku pengasas jenama fesyen berkenaan memanfaatkan majlis persandingannya itu untuk memperkenalkan jenama Bianco Mimosa bagi mencetuskan lagi suasana gemilang di majlis perkahwinan beliau yang diadakan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.

Mempelai bagaimanapun tidak menyarungkan gaun perkahwinan dari jenamanya sendiri sebaliknya rekaan Donatella Versace, Atelier Vercase bernilai RM1.6 juta.

Manakala wajah comel beliau di tatarias oleh jurusolek kegemaran Kim Kardashian dan Jennifer Lopez iaitu Mario Dedivanovic diterbangkan khas dari Amerika Syarikat dengan bayaran RM180, 000. Kerjasama itu membawa perkhabaran baik apabila Versace menyatakan hasrat untuk bergabung dengan Bianco Mimosa suatu hari nanti merealisasikan impian mereka mencipta pasaran fesyen khusus buat golongan muslimah.

Berbalik kepada majlis resepsi dan pelancaran jenama berkenaan, antara selebriti popular yang hadir seperti Erra Fazira, Rozita Che Wan, Umie Aida, Zahida Rafik, Fouziah Gous dan ramai lagi.

Menyemarakkan lagi majlis persandingan itu, penyanyi popular Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Amy Search.