Isnin,24 November 2014

Air mata Rosyam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Pelakon dan penerbit drama, Rosyam Nor dan isteri, Runika Mohd Yusof gagal menahan air mata apabila terpaksa ‘melepaskan’ puteri sulung mereka, Arniesha Azureen yang kini sudah menjadi milik suaminya Mohd Hafiz Mohd Said. Pasangan sama cantik dan sepadan itu selamat diijab kabulkan pada 12 Mei lalu.

Malam Sabtu lalu Rosyam mengadakan majlis resepsi anak mereka di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan antara tetamu kenamaan yang hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut menepung tawar pasangan pengantin.

Berada di majlis ini seakan menyaksikan satu persembahan muzikal kerana jemputan turut dihidangkan dengan pelbagai pengisian menarik sementara menanti mempelai masuk ke dewan.

Paling mencuit hati ialah telefilem pendek arahan sahabat baik Rosyam, Erma Fatima. Ia mengisahkan mengenai bibit-bibit awal percintaan Arniesha dengan Hafiz serta penerimaan Rosyam dan Runika apabila anaknya mahu berkahwin pada usia muda.


Menariknya telefilem ini dibintangi oleh Rosyam dan keluarganya serta keluarga menantu dan besannya. Biarpun pendek, drama ini tetap mengesankan semua yang hadir apabila diselitkan elemen lucu dan sedih.


Tidak ketinggalan menariknya ialah persembahan daripada komposer Julfekar dan barisan anak didiknya iaitu Min Yasmin dan Rahayudean yang menghiburkan jemputan.

Elemen tradisional tidak diketepikan apabila barisan penari Istana Budaya turut mengadakan persembahan memikat dengan diiringi nyanyian lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sementara, pemuisi dan penyanyi lagu rakyat, Arifin Said turut ditampilkan pada majlis ini dengan persembahan gaya penglipur lara dulu kala. Konsep Islamik yang menjadi tunjang pegangan hidup kita tidak dipinggirkan apabila majlis turut menampilkan baca salawat dan doa.

Majlis yang bermula pada jam 8.30 malam ini, berakhir sepenuhnya pada jam 1 pagi. Raut wajahnya kelihatan penat tetapi, Rosyam Noor dan Runika tetap ceria melayan setiap tetamu yang hadir.

Ditemui sebaik majlis berakhir, tanpa disuruh Rosyam mengakui kakinya sakit-sakit sehingga tidak berdaya untuk berdiri lagi. Nampak jelas dia bersungguh-sungguh memastikan majlis istimewa untuk anaknya ini berjalan lancar tanpa masalah.

“Dari semalam sehinggalah tiba majlis ini, saya belum tidur lagi kerana nak pastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Saya nak pastikan apa yang dikehendaki itu direalisasikan malam ini.

“Saya nak tengok sendiri depan mata barulah rasa okay. Majlis ini pun terhasil kerana gabungan idea daripada semua pihak iaitu keluarga dan kawan-kawan. Kami bekerjasama melaksanakannya.

Menurutnya, peranca­ngan untuk majlis ini sudah dirancang sejak Oktober lalu selepas pasangan mempelai bertunang. Ia dilakukan sedikit demi sedikit sehinggalah berlangsungnya majlis ini.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sekarang hanya tinggal majlis menyambut menantu sebelah keluarga Hafiz dan kenduri sebelah saya untuk meraikan keluarga dan orang kampung di Kampung Kerinchi pada 9 Jun nanti.

“Dulu saya kahwin pada usia 22 tahun dan sekarang anak saya kahwin pada usia 23 tahun. Saya tak menghalang kerana ada empat perkara yang sudah jelas tertulis dalam hidup kita iaitu hidup, mati, rezeki dan jodoh pertemuan yang sudah ditentukan Allah.

“Ini perkara yang setiap kita tak boleh elak. Memang mulanya saya agak susah nak terima kenyataan untuk melepaskan dia. Saya tengok anak saya masih kecil dan rasa dia masih muda.

“Saya tanya dia kenapa tak melalui dulu zaman remaja. Tapi apabila dia tetap dengan keputusannya untuk berkahwin, saya izinkan juga. Lagipun dia sudah tamat belajar di sebuah kolej swasta,” katanya yang mahu pasangan ini berdikari dalam hidup mereka.

Ramai yang melahirkan perasaan kagum dengan konsep pelamin bersanding di atas kayangan hasil rekaan Empayar Che Det serta suasana hiasan yang menarik
di dalam dewan.

Rosyam tidak mahu ada pihak tersalah anggap dia berhabisan berbelanja besar untuk majlis ini. Jelasnya, semua ini adalah sumbangan rakan bisnesnya yang sudi menaja majlis ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19
`