Sabtu,30 Ogos 2014

Air mata mengalir

Oleh Amir Abd Hamid

Seremban: Seorang bapa di Rumah Rakyat Panchor, di sini, merayu orang ramai membantu meringankan beban perbelanjaan ditanggungnya berikutan terpaksa mengeluarkan kos lebih RM2,000 sebulan bagi merawat penyakit saraf anak tunggalnya.

Adli Isham Abas, 35, berkata walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Yayasan Menara RM500 sebulan ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan alternatif serta rawatan penyakit anak tunggalnya, Ahmad Wafly Adli Isham berusia setahun 10 bulan.


Menurutnya, Ahmad Wafly memerlukan makanan tambahan iaitu sejenis vitamin khusus untuk saraf seperti disyorkan doktor pakar yang boleh didapati di beberapa farmasi pada harga RM175 bagi 30 biji dan susu khas RM600 sebulan.

“Setiap kali memegang tubuhnya yang lembik disebabkan penyakit saraf saya perlu berhati-hati kerana bimbang anak berasa sakit. Apatah lagi dia belum boleh bercakap dan saya dapat merasakannya apabila dia mengalirkan air mata.


“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai di Paroi dengan pendapatan RM25 sehari. Apabila menggunakan perubatan alternatif yang disarankan doktor pakar itu, memerlukan perbelanjaan tinggi. Saya gagahkan juga sebab mahu melihat anak sihat walaupun terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tak mampu bayar. Sekarang saya, isteri dan anak menumpang di rumah ibu.


“Saya sangat mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk membantu kami sekeluarga. Isteri saya pula tidak boleh bekerja sebab perlu menumpukan 100 peratus perhatian kepada anak tunggal kesayangan kami itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Foto

NORLIYANA memegang tubuh anaknya Ahmad Wafly yang menderita sakit saraf.

Isterinya, Norliyana Abdullah, 25, ketika mengadu mengenai anak tunggalnya itu berkata, Ahmad Wafly menghidapi penyakit saraf secara tiba-tiba sejak berusia empat bulan hingga menyebabkan anaknya itu tidak boleh duduk atau berdiri sebaliknya hanya berbaring.


“Ketika melahirkannya di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Ahmad Wafly berkeadaan normal tetapi, dikesan menghadapi masalah saraf ketika usianya empat bulan. Dia diberikan rawatan di hospital berkenaan termasuk dengan doktor pakar.

“Keadaan dia sehingga kini ada perubahan positif walaupun perlahan, penggunaan perubatan alternatif disarankan doktor pakar banyak membantu perkembangannya. Cuma perbelanjaannya tinggi,” katanya.


Norliyana berkata, dia menggunakan sepenuh masa menjaga Ahmad Wafiy yang memerlukan perhatian serius dari segi pemakanan dan kesihatan bagi memastikan anaknya tidak ditimpa masalah lain.


Menurutnya, anaknya mudah mendapat demam jika tidak dijaga dengan betul dan khuatir akan menjejaskan pembesarannya.


“Doktor juga menyarankan Ahmad Wafly menggunakan alat penyokong leher dan badan iaitu sebahagian proses terapi bagi membolehkan tulangnya kembali kuat, namun kami belum dapat membelinya kerana suami tidak mampu dari segi kewangan,” katanya.


Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan bolehlah menyumbang di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Adli Isham Abas di nombor akaun 05012026075001.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/16
`