Ahad,31 Ogos 2014

Bakal dapat MB baru

Kemenangan tipis Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sekadar memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mencetuskan beberapa perdebatan termasuk kemungkinan pelantikan Menteri Besar (MB) baru untuk menerajui negeri penyu ini.

Ada juga pihak cuba mengaitkan kemerosotan sokongan rakyat kepada BN itu dengan prestasi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai panglima Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13, selain beberapa faktor dalam dan luaran termasuk budaya peteh keting.


Sememangnya, spekulasi mengenai Terengganu bakal mendapat MB baru kini hangat diperkatakan kerana bukan mudah untuk penyokong BN dan UMNO khususnya menerima kehilangan tujuh kerusi DUN berbanding 24 yang dimenangi pada 2008, selain kalah empat kerusi Parlimen kepada PAS.

Persoalannya kini, siapakah calon yang layak menggantikan Ahmad? Berdasarkan tradisi, Menteri Besar dilantik di kalangan Ketua UMNO Bahagian, justeru selain Ahmad (Kemaman), ada dua nama yang kini disebut-sebut selepas empat lagi Ketua UMNO Bahagian tewas kelmarin.


Dua nama itu ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu ) yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan II dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu).


Jika tradisi diketepikan dan bukan Ketua Bahagian turut diambil kira, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman turut dilihat berpotensi sebagai calon MB. Beliau adalah calon BN tunggal yang memenangi kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Nerus.

Ini bersandarkan prestasinya yang dianggap cemerlang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri sebelum ini.


Begitupun, pasti ramai tidak mahu peristiwa ‘menggoncang pagar istana’ pada 2004 berulang di Terengganu dan semestinya calon untuk jawatan itu mesti mendapat restu Perdana Menteri selaku Pengerusi BN dan pihak istana.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, walaupun dibebani kemerosotan pencapaian BN Terengganu, Ahmad diramal terus menerajui Terengganu selepas pembentukan kerajaan baru kerana dalam kedudukan sekarang, amat sukar untuk mencari penggantinya.


“Kelebihan masih ada kepada Menteri Besar sedia ada, bergantung kepada Perdana Menteri kerana ini sebahagian kabinetnya. Macam Johor walaupun nama Datuk Seri Khaled Nordin disebut sebagai calon Menteri Besar, tetapi ia belum diputuskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/07
`