Belasah polis, larikan van

Belasah polis, larikan van

Oleh Isma Ismail dan Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, sebahagian daripada sembilan tahanan terbabit dikatakan mencetuskan kekecohan dengan bergaduh sesama sendiri menyebabkan kenderaan itu diberhentikan di tepi jalan dekat Pantai Bersih di sini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata empat anggota polis yang mengiringi tahanan terbabit turun dari kenderaan untuk meleraikan pergaduhan tahanan terbabit.

“Tiba-tiba seorang daripada tahanan membaling serbuk cili ke arah anggota kami sebelum melakukan serangan. Tahanan itu membelasah anggota terbabit dan meninggalkan mereka di tepi jalan sebelum melarikan kenderaan polis,” katanya kepada pemberita selepas melawat empat anggota terbabit yang mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Seberang Jaya, petang tadi.

Abdul Rahim berkata, van polis itu ditemui ditinggalkan di Padang Cempedak kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian di mana tujuh tahanan melarikan diri manakala dua lagi tahanan tidak berbuat demikian dan ditahan semula.

“Kita percaya kejadian ini dirancang lebih awal dan pergaduhan sesama tahanan di dalam van berkenaan sengaja diadakan bagi melarikan diri,” katanya menjelaskan gerakan memburu tahanan terbabit giat dijalankan terutama di sekitar Kampung Tun Sardon, Tasek Gelugor.

Polis juga mengeluarkan beberapa gambar suspek bagi memudahkan pegecaman dan meminta orang ramai menghubungi balai polis berdekatan jika mempunyai maklumat mengenai tahanan yang melepaskan diri itu.