Ceria Popstar

Ceria Popstar

Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@mediaprima.com.my


Program yang memilih kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah itu bukan saja mengenengahkan bakat mereka dalam bidang nyanyian, malah masing-masing juga berkebolehan bermain pelbagai jenis alat muzik.

Ditemui pada majlis berkenaan baru-baru ini, Aznil berkata, peranannya di dalam program itu ibarat seperti ayah pada peserta dalam membantu mereka berdepan dengan emosi terutamanya ketika mendengar kritikan juri.

“Saya adalah pembela buat mereka sekali gus memberi semangat ketika masing-masing berdepan dengan situasi yang dihadapi maklumlah mereka ini masih muda emosi begitu rapuh dan mudah tersentuh.

“Motivasi juga akan saya beri kepada semua di samping memastikan pemilihan lagu tidak terlalu jiwang, pakaian yang tidak menjolok mata dan perlakuan tidak keterlaluan.

“Selain itu, pengalaman yang begitu lama di dalam produksi memberi ruang untuk saya sama-sama berkongsi idea dalam penerbitan program ini bersama Astro,” katanya.

Lapan peserta yang terpilih layak bertanding untuk bergelar juara dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah RM15,000 dan RM10,000.

Program yang berlangsung selama 10 episod itu memperlihatkan perkembangan setiap peserta di mana minggu pertama penonton diperkenalkan dengan telatah dan gelagat mereka menerusi uji bakat dan ‘bootcamp’ yang diadakan sebelum dapat menyaksikan mereka beraksi di atas pentas untuk sembilan minggu berikutnya.

Juri program, Nurul Wahab berkata, dia terpanggil untuk menjayakan program ini selepas melihat ia sesuai bagi mencari pelapis penghibur di kalangan kanak-kanak.

“Sering kita didedahkan dengan program pertandingan membabitkan dewasa dan untuk program ini kita mengenengahkan kanak-kanak dalam menunjukkan aksi dan bakat mereka menyanyi sambil bermain alat muzik.

“Saya teruja untuk melihat persembahan mereka, apatah lagi ketika sesi uji bakat yang saya lakukan pelbagai ragam dapat dilihat bukan hanya peserta, malah ibu bapa mereka juga turut memainkan peranan.

“Saya yakin kanak-kanak sekarang ramai yang berbakat, malah peserta yang menghadiri uji bakat kali ini kebanyakan mereka bukanlah dari golongan keluarga senang dan keinginan untuk bermain muzik datang dari usaha dan mereka belajar sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin berkata, bakat terpendam peserta dari lingkungan usia 10 hingga 15 tahun itu akan dilatih dan mereka bakal didedahkan dengan pelbagai genre muzik agar menjadi lebih kreatif.

“Kami memilih peserta 15 tahun ke bawah kerana ingin menggilap bakat mereka yang masih mentah serta membina keyakinan diri membuat persembahan di hadapan penonton.

“Program ini juga berbeza dari program yang sedia ada di mana kami bukan hanya menitikberatkan soal nyanyian malah kebolehan dalam bermain alat muzik juga diambil kira malah peserta yang terpilih bukan saja solo, kami juga memberi peluang kepada pasangan duet dan berkumpulan menunjukkan bakat masing-masing,” katanya.

Selain Nurul, penyanyi Asmawi Ani turut menjadi juri tetap program manakala setiap minggu akan ada juri jemputan di mana program diacarakan oleh pelawak dan pelakon, Nabil Ahmad.