Khamis,23 Oktober 2014

Cikgu Rania 2 (siri 35): Aduhai cinta.. Inilah bunga laramu!

Oleh Samsiah Mohd Nor

“Boleh tahan meriahnya aktiviti bulan bahasa kita pada tahun ni ya!” ujar Rania melihatkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh Panitia Bahasa Melayu.

Pentas di dewan sekolah sudah pun dihias. Ringkas tapi menarik. Hadiah-hadiah sudah pun diatur kemas di atas meja di sudut pentas.

“Meriahnya mengalahkan pertandingan peringkat daerah, tengok sahajalah hadiah-hadiahnya. Tahun ini paling banyak penyertaan untuk pertandingan puisi lagu. Aku suruh budak buat persembahan puisi lagu secara trio! Setakat ini kita ada 16 kumpulan trio yang nak ambil bahagian,” Rahah bercerita.

Sambil itu, dia mengarahkan murid-murid yang ditugaskan untuk menyusun kerusi di dewan supaya tidak bermain-main semasa menjalankan tanggungjawab.


“Rezeki murid-murid sekolah kita pada tahun ni,” Sesekali Rania meraba perutnya yang berasa tidak selesa.


“Hadiah peringkat sekolah mengalahkan peringkat daerah. Negeri pun kalah. Telefon bimbit!” Rahah tersengih.

“Kau ni kenapa Ren?” tanya Rahah kemudiannya.

Dia juga perasan akan keanehan tingkah laku Rania.

“Tak berapa selesa,” Rania berterus-terang.

“Lincah sangat. Awal-awal mengandung mana boleh rencah macam tu,” komen Rahah. “Abang awak tak tegur ke isterinya sibuk-sibuk begini?”

“Farhan jadi datang petang nanti?” Rania tukar topik. Soalan Rahah tidak diendahkan sebab dia tiada jawapan untuk pertanyaan itu.

“Farhan?” tanya Rahah. Dahinya berkerut.

“Yalah Farhan. Penaja kita tu.”

“Bukan ke nama dia Faheem?” tanya Rahah balik.

“Ohh...” Rania menepuk dahinya. “Aku selalu confused.”

“Farhan mana pula ni?” usik Rahah dengan senyum simpul.

“Aku selalu macam tu, selalu tukar nama orang” akui Rania seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Jadi tak Faheem datang?”

“Jadilah. Dia kata nak hantar dulu hadiah-hadiah lumayan tu,” ujar Rahah dengan girang.

Rancangannya, hadiah-hadiah yang berupa tiga unit telefon bimbit akan dibawa pulang dan dibungkus di rumah. Hadiah-hadiah lain berupa hamper-hamper akan ditinggalkan sahaja di dewan sekolah yang sudah pastinya dikunci.

“Jadi kita akan jumpa dia petang ni?” tanya Rania.

Rahah tergelak kecil.

“Ke kau nak jumpa dia seorang?” giat Rania melihat Rahah tersipu-sipu.

“Apa pula! Dengan kaulah,” bantah Rahah. Wajahnya sudah memerah.

“Aku nak bagi peluang kalau kau nak,” giat Rania.

Sekali lagi Rahah tersengih. “Jom minum,” ajak Rahah apabila tugasan di dewan sudah selesai.

Murid-murid bertugas telah diarahkan pulang ke kelas. Rahah mengunci dewan sebelum beriringan dengan Rania menuju ke kantin sekolah. Tidak ramai guru di kantin pada jam melewati pukul 11 pagi. Hanya ada dua orang guru yang sudah pun selesai makan dan mahu beredar.

“Dia jadi nyanyikan?” tanya Rahah semasa air sirap bandung yang dipesan sudah melalui tekaknya. Sejuk manis air bandung menghilangkan hausnya yang tertahan sejak tadi.

“Jadi. Dia bawa gitarnya sekali,” jawab Rania. Perkara itu sudah pun dibincangkan dengan Faheem sebelum ini.

“Tak sabar nak jumpa. Suara dia aku dah dengar...romantik! Harap-harap orangnya seromantik suaranya!” Rahah menguntumkan harapan.

“Memang romantik. Orangnya pun handsome,” kata Rania.

Telefonnya berdering. Di skrin tertera nama Ummar Qayyum. Baru sahaja mahu dijawab, panggilannya putus. Rania biarkan sahaja. Kalau penting dia akan call balik, fikir Rania. Baru Rania perasan ada beberapa panggilan tidak berjawab daripada Encik Salman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

“Makanlah,” pelawa Rahah. Dua piring mihun sudah berada di depan mata. Rahah makan dengan berselera sekali tapi tidak Rania. Mi yang ditelan terasa tawar hambar. Rania hilang selera. Cuma Milo panas yang diteguknya. Ditolak pinggan mi ke sisi.

“Kenapa tak luak ni?”

“Hilang selera pula.”

“Mak buyung tak boleh macam ni, kena makan. Kena jaga kesihatan untuk diri sendiri dan baby,” tegur Rahah.

Sungguhpun dia belum berkahwin tetapi dia mahir tentang penjagaan kesihatan ibu dan anak kerana mempunyai pengalaman menjaga kakak-kakak dan anak-anak saudaranya.

Rania rasa pening tiba-tiba. Jiwanya kacau. Sungguhpun dia pura-pura menyibukkan diri tapi hakikatnya hatinya rusuh setiap kali terkenangkan hubungan dingin antaranya dengan Ummar Qayyum.

Berlarutan pula perselisihan yang makin menjadi-jadi sejak malam itu. Mi goreng dikuis-kuis. Dia masih terkenangkan peristiwa malam itu. Dia mengusir Ummar Qayyum dari bilik. Kejamkah aku pada Ummar Qayyum? Melampaukah aku? Egokah aku? Fikir Rania tapi tiba-tiba dia teringat pula akan perlakuan dingin Ummar Qayyum terhadapnya.

Dia yang memulakan dan semuanya bermula selepas Ummar Qayyum terlibat dalam kemalangan semasa menjemputnya dari Kampung di Janda Baik. Ummar Qayyum mendendami akukah? Rania bertanya sendiri. Dia khayal dalam masalah yang berlarutan namun semuanya dipendam sendiri. Diubati hati dengan menyibukkan diri malah kesibukan di sekolah bagai sesuatu yang diharap supaya masalah yang ditanggung dapat dilupakan.

“Cikgu Rania, Encik Salman nak jumpa sekarang,” ujar Prakash, kerani pejabat yang sedang menjenguk dari pintu kantin. Punah lamunan Rania.

“Sekarang?” tanya Rania. Dia tidak ada kelas tapi keberatan hendak berjumpa Encik Salman. Dia kepenatan.

“Karang sikit boleh?” Rania tawar menawar.

“Cik Salman suruh datang sekarang juga. Dia call banyak kali tadi,” jelas Prakash lagi.

“Okeylah,” sahut Rania. Dia sudah bangkit.

“Ada kerja tu!” ujar Rahah.

“Yalah tu kot,” kata Rania.

Dia menuju ke bilik Encik Salman. Sebaik sahaja ternampak muka Rania, Encik Salman pun memberi taklimat ringkas tentang Program Anjuran Yayasan Bakti.

Badan tersebut mahu memberikan program berbentuk Kem Kepimpinan Pelajar secara percuma kepada dua puluh orang pelajar cemerlang dari sekolah tersebut.

“Tugas cikgu sekarang ialah cari pengawas dalam dua puluh orang untuk mengikuti program anjuran Yayasan Bakti ni. Lepas tu cikgu bincang dengan Puan Sheila atau kaunselor sekolah tentang prosedur seterusnya,” ujar Encik Salman pada Rania. Sepucuk sampul surat bersaiz besar diserahkan pada Rania.

“Bila program ni?” tanya Rania.

“Esok dan lusa.”

“Hah! Esok? Mana sempat. Ni dah dekat pukul 12 tengah hari. Saya ada kelas sekejap lagi sampai balik ni.”

“Sempat. Cikgu pergi dengan Puan Rabeah. Saya dah inform Cikgu Beah. Dia uruskan hal bas. Esok dia dengan cikgu jadi guru pengiring. Sekarang cikgu naik ke kelas tingkatan empat. Cikgu kumpulkan semua pengawas. Suruh turun jumpa saya di ruang legar Gajah Menyusur,” arah Encik Salman lagi.

Kelam-kabut Rania naik ke tingkat empat. Dipanggilnya seorang pengawas bernama Haris lalu diarahkan Haris untuk memaklumkan pada para pengawas yang lain.
Kemudian dia berlari pula ke pejabat untuk mengambil borang kebenaran menyertai kem dan borang akuan kesihatan daripada Puan Hasnah, iaitu Penolong Kanan Kokurikulum.

“Borang tu dah habis. Ren pergi dapatkan daripada Puan Sheila,” arah pula PK kokurikulum.

Sekali lagi Rania bergegas ke bilik disiplin yang terletak di hujung Blok B.

“Dah tak ada,” sahut Puan Sheila selamba. Wajahnya masam. Langsung tidak menunjukkan kerjasama.

“Puan Hasnah kata you dah ambil semua hari tu.”

“Dah tahu I ambil kenapa dia tak reso lagi,” bentak Puan Sheila.

“Satu pun tak ada? Kalau ada satu pun jadilah. Boleh I fotostat dalam dua puluh copy.”

“Tak ada,” sahutnya angkuh.

“Dalam soft copy ada? Boleh I pinjam. I pergi print sekejap,” Rania masih berkompromi.

“Semua dalam komputer tapi dah kena virus,” Puan Sheila berkata dengan selamba lalu menyambung kerjanya balik tanpa rasa bersalah.

Rania menghela nafas. Baru sahaja dia mahu melangkah kaki untuk beredar dari bilik tersebut, telinganya menyambar sesuatu yang tidak enak didengar. Puan Sheila mengumpatnya.

“Apa you kata?” tanya Rania balik.

“Saya kata cikgu ingat saya tak tahu ke yang cikgu tuduh saya tak buat kerja?” bentak Puan Sheila dengan muka yang menyakitkan hati Rania.

“Saya kata macam tu? Dari mana you dengar ni?”

“Tak payah berpura-puralah cikgu...” Muncung mulut Cikgu Sheila kian panjang.

Rania menahan nafas, menahan hati. Kerana dia berkejar dengan masa, ditinggalkan Puan Sheila begitu sahaja. Hati sedang hangat tapi ada perkara lain lebih penting yang mesti disegerakan. Dia bergegas pula ke bilik Puan Hasnah. Nasib baik Puan Hasnah belum keluar bermesyuarat.

“Kalau tahu begitu, saya bagi saja pada Ren soft copy borang-borang tersebut,” keluh Puan Hasnah agak kesal dengan tindakan Puan Sheila.

Tanpa membuang masa, Rania meminta Prakash membuat dua puluh salinan untuk setiap borang yang diperlukan. Masa hendak keluar, dia terserempak pula dengan Puan Rabeah di pintu masuk pejabat.

“Nasib baik dapat bas.” Hela Puan Rabeah yang nampak termengah-mengah.

“Alhamdulillah. Syukur kak. Pasal jadi macam ni. Bidan terjun saja.”

“Biasalah Ren, surat sampai last minute.” Puan Rabeah terduduk di bangku di luar pejabat. Dia guru yang lurus bendul.

“Kak, saya nak edarkan borang pada budak-budak pengawas,” ujar Rania lalu bergegas pula ke destinasi seterusnya.

“Tolong beritahu peserta suruh tunggu di kantin sekolah. Bas datang pukul 7.30 pagi,” pesan Puan Rabeah.

Di ruang legar Gajah Menyusur, Encik Salman sedang memberi taklimat ringkas pada para pengawas yang tekun mendengar penerangan. Dia turut meminta maaf kepada calon peserta kerana terpaksa membuat keputusan mendadak.

“Kursus ini diberikan secara percuma selama dua hari. Kalau kita tolak rugilah murid-murid kita sebab bukan senang nak dapat program kecemerlangan pelajar secara percuma.” Penjelasan ringkas tetapi padat oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid difahami oleh calon peserta.

Daripada dua puluh dua pengawas terpilih, hanya dua orang sahaja yang terpaksa menolak kerana sudah terikat dengan komitmen lain. Selesai penerangan ringkas tersebut, Encik Salman mengarahkan Rania untuk mengedarkan borang kepada para peserta.

“Dokumen-dokumen yang lain ada dalam sampul ni. Kad nama pegawai yayasan pun ada saya kepilkan sekali. Apa-apa hal awak hubungi dia. Saya ada meeting ni,” sambungnya lagi dan bergegas pergi.

Selesai mengedarkan borang-borang dan menyambung taklimat yang tergendala tadi, Rania memberi peringatan terakhir kepada murid-murid sebelum bersurai.

“Esok bawa borang kebenaran dan penyertaan bersama awak. Bawa juga seluar track dan baju-T serta keperluan diri yang lain. Tunggu saya dengan Cikgu Rabeah di kantin. Bas sampai pukul 7.30 pagi. Jangan lewat ya,” pesan Rania.

Sebaik sahaja murid-murid bersurai, Rania memanjat tangga menuju ke bilik guru di tingkat dua. Dihampiri Rahah yang sedang menulis buku Rekod Mengajar.

“Apa masalah unit pengawas sebelum ni? Kenapa Puan Sheila marah-marah kat aku?” tanya Rania yang tidak mengerti apa-apa.

Keluhan Rahah bagai menyembunyikan sesuatu. Rahah menyandarkan tubuhnya di kerusi.

“Ingat tak bila aku nasihatkan kau jangan terima tugas sebagai Setiausaha Pengawas hari tu?”

Rania angguk.

“Encik Salman ada masalah dengan Puan Sheila. Baru-baru ni pegawai PPD turun sekolah. Nak tengok semua fail unit HEM. Fail Unit Pengawas tak ada.”

“Mana pergi?”

“Tak pernah wujud.”

“Apa kaitan dengan aku?”

“Bila Encik Salman lucut jawatan Puan Sheila sebagai guru pengawas dan suruh kau sandang, aku rasa dia marah.”

“La...macam aku yang nak!” sela Rania.

“Ada dia kisah?” tokok Rahah.

Rania mengeluh. “Esok aku tak ada. Kena bawa pengawas ke kursus kepimpinan. Petang ni pun mungkin aku tak boleh jumpa Faheem sebab aku nak survey tempat pengawas nak berkursus,” ujar Rania.

“La...jadi juga?”

Rania kehairanan. “Apa yang jadi juga?”

“Kursus kepimpinan pelajar itulah.” Rahah menghela nafas.

“Aku baru dapat tahu. Baru selesaikan uruskan budak-budak. Macam mana kau tanya macam tu?” Rania kelelahan.

“Surat tu dah lama. Terperap dalam simpanan Cikgu Sheila. Bukan yang itu saja, banyak lagi surat-surat panggilan kursus yang terperap tak diambil tindakan.” Rahah membocorkan cerita.

Sebenarnya dia sudah mendengar cerita tentang hal tersebut tetapi dia malas memanjangkannya. Malah dia telah memujuk Rania supaya jangan menerima kerja tertangguh orang lain tapi Rania terima juga.

“Encik Salman tak cakap pun!”

“Cakap pun nak buat apa? Lebih baik kau cakap pada ayah kau tu! Sesekali gunalah kabel besar kau tu!”

Kerana geram, Rahah berkata, “Biar ayah kau tahu situasi di sini.”

“Ah, di mana-mana sama sahaja Rahah. Aku malas nak libatkan keluarga aku.”

“Kaulah satu-satunya cikgu berkabel paling besar yang dibuli!” Rahah tersenyum sinis.

Rania hanya mampu angkat bahu. “Tak jadi kudis buta setakat kerja macam ni. Aku biasa mandi lumpur dengan anak-anak Sabah. Aku biasa masuk hutan malah aku pernah harung sungai penuh buaya di Sarawak,” Rania tiupkan semangat serikandi dalam dirinya.

“Kau memang hebat tapi aku rasa untuk hari ini kau baliklah dulu. Rupa kau dah teruk benar. Berminyak-minyak. Balik berehat. Bersiap sedia untuk kursus dua hari. Yang di sini jangan khuatir. Aku dengan panitia BM yang lain boleh uruskan,” janji Rahah.

“Petang ni kau boleh uruskan seorang?” tanya Rania.

“Boleh. Jangan risau. Kau baliklah dulu.” Rahah bersimpati benar dengan Rania.

Kerja-kerja tidak berkaitan datang menimbun secara mendadak. Tapi Rania ialah jenis guru yang tidak menolak tugas tapi kasihan padanya. Sudahlah dia berbadan dua, terbeban pula dengan bermacam-macam kerja bidan terjun, fikir Rahah seraya memandang Rania yang sudah bergerak menuju ke keretanya.

Sampai di rumah, gembira rasa hati Rania melihat kereta ayahnya menjalar di ruang parkir depan pintu. Di beranda depan, Rania tersuluh kelibat Ummar Qayyum sedang mendukung Fahim. Sebenarnya dia malas hendak menegur tetapi menyedari Ummar Qayyum sedang mengerling padanya, terus dimaklumkan pada Ummar Qayyum bahawa dia akan berkursus bersama pengawas selama dua hari.

“Tak balik?” tanya Ummar Qayyum.

“Tak.”

“Pemeriksaan bayi macam mana? Bila lagi nak jumpa doktor?” tanya Ummar Qayyum.

“Last week. I pergi sendiri,” ujar Rania selamba.

Terdengar keluhan Ummar Qayyum. Rania melangkah masuk ke dalam rumah dan terus menghala ke arah dapur kerana kehausan. Aroma Nescafe menusuk masuk ke hidungnya. Dia nampak susuk tubuh seseorang membelakanginya di dapur. Tubuh Murni. Mulanya dia hendak terus masuk ke dapur tetapi menyedari tingkah laku pelik Murni, Rania bersembunyi di sebalik dinding. Dia nampak dengan jelas Murni sedang membancuh minuman di dalam mug. Kemudian Murni menitiskan sesuatu dari botol kecil ke dalam mug berisi Nescafe dan dengan segera memasukkan semula bekas kecil yang mengandungi cecair itu ke dalam kocek seluarnya. Dia kemudiannya menatang mug yang mengandungi minuman panas itu di atas dulang.

Murni memandang sekeliling sekali lagi. Yakin tiada siapa di sekelilingnya, Murni meludah ke dalam mug tersebut dan kemudian berlenggang-lenggok membawa dulang berisi mug ke beranda tempat Ummar Qayyum sedang bermain dengan Fahim.
“Kurang ajar kau Murni!” Mendidih hati Rania melihatnya.

Dia bergegas ke depan. Fahim sudah pun diambil semula oleh Murni. Sebaik sahaja Ummar Qayyum mahu mencapai mug berisi Nescafe, Rania cuba menghalang tapi tertepis tangkainya. Terpelanting mug berisi Nescafe panas dan pecah berderai.
Ummar Qayyum tergamam. Murni terkejut bukan kepalang.

“Kenapa buat macam ni?” tengking Ummar Qayyum.

Rania tidak terkata. Cuma dadanya yang turun naik berbicara. Marahnya pada Murni menyebabkannya hilang kalimah. Muka Ummar Qayyum sudah merah padam. Masakan sampai begini tingkah laku pembawakan budak! Bentak Ummar Qayyum dalam hati.

“Kenapa ni?” tanya Puan Sri Zalia yang baru muncul bersama Tan Sri Razlan. Makcik Rohaya di belakang mereka. Dahi Puan Zalia berkerut seribu. Rania serba-salah. Dia menerpa Tan Sri Razlan.

“Ayah, Ren nak jumpa ayah sekejap,” ujar Rania lalu menarik tangan ayahnya masuk ke dalam.

Puan Sri Zalia masih terpinga-pinga seraya memandangi Ummar Qayyum dengan Murni silih berganti.

Makcik Rohaya menghilang dan muncul kembali dengan sebiji baldi berisi air dengan kain buruk.

Serpihan kaca dibersihkan oleh Makcik Rohaya manakala kesan air Nescafe dilapnya.

“Kenapa Qayyum? Murni?” tanya Puan Sri Zalia.

Kedua-duanya membisu. Tidak tahu apa yang patut dijawab. Puan Sri Zalia meluru pula ke bilik Rania di bawah. Pintunya berkunci dari dalam.

“Ayah kena tolong Ren kali ini. Ren tak kira dengan apa cara, kembalikan Ren ke tempat di mana ayah ambil Ren dulu.” Suara tegas Rania menyebabkan Tan Sri Razlan terduduk.

“Ren kena bincang dengan mama.”

“Mama tak akan bagi.”

“Sebab Ren memang tak boleh pergi. Tempat Ren di sini tambah pula Ren dah bersuami. Ren mengandungkan anak Qayyum.”

“Ren tak nak duduk sini. Ni bukan tempat Ren,” Rania mulai sebak.

“Ren...fikir masak-masak.”

“Ren tak akan fikir lagi.”

“Ren...” Tan Sri Razlan mengusap bahu anak gadisnya yang nampak lembut di luar tapi keras hatinya.

“Kalau Zara boleh berhijrah sampai ke London, takkan setakat Sabah, ayah tak boleh lepaskan Ren?”

Terpinga-pinga Tan Sri Razlan dibuatnya. Hilang taringnya kali ini. Kalau dulu dia boleh berlagak tegas dan memaksa Rania mengikut telunjuknya tapi kini tidak lagi kerana dia juga ada sejarahnya yang tersendiri. Sejarah yang boleh dipintal sesuka hati oleh Rania. Tan Sri Razlan tunduk.

“Itu saja yang Ren pohon daripada ayah! Ren tetap dengan keputusan Ren dan Ren harap ayah pegang amanah Ren dan jangan sesekali ceritakan pada sesiapa!” Itulah kata-kata tegas yang diutarakan oleh Rania pada ayahnya sehingga putih mata si ayah menatapnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
`