Galak ubah suai kereta

Galak ubah suai kereta

Teks dan gambar oleh Zuhainy Zulkiffli
rencana@hmetro.com.my


Merentasi beberapa buah negeri menuju ke Pulau Pinang bukannya mudah dan memerlukan pengorbanan sangat besar bagi peminat kereta kerana tanpa peralatan dan penyelenggaraan yang lengkap mungkin akan membantutkan usaha.

Di kalangan peminat kereta Daihatsu Mira Gino, kenderaan milik Eddywan Sahroni, 35, memang dikenali dan ‘digeruni’ kerana sudah memegang ‘takhta’ Enjin Terbaik Malaysia sejak setahun lalu selain memenangi Kategori Mira Look sejak tiga tahun lalu.

“Saya aktif mengikuti pertandingan dan pameran sejak lima tahun lalu selepas membeli sebuah kereta Perodua Kelisa dengan harga RM36,000 dan tidak pernah ketinggalan menyertai sebarang pertandingan atau pameran auto di seluruh negeri.

“Saya mengubah suai sedikit demi sedikit, bergantung kepada kelapangan masa, tetapi semakin banyak aksesori yang ditambah, semakin ‘galak’ pula menukar beberapa aksesori serta mengecat warna hijau supaya tampak lebih ceria,” katanya.

Anak kelahiran Tampoi itu mendapat idea bagi menambah suspensi angin yang terletak kemas di tempat duduk belakang keretanya serta boleh mendatangkan pelbagai mode seperti sporty atau standard mengikut gaya dan kesukaan pemandu.

“Kereta Kelisa ini sudah diubahsuai kira-kira 98 peratus sama dengan kereta Mira Gino termasuk menukar keseluruhan enjin dan keaslian Perodua Kelisa itu hanya terletak pada geran dan bentuk kereta serta digunakan bagi tujuan pameran atau pertandingan sahaja.

“Setakat ini saya sudah mengeluarkan modal lebih RM120,000 bagi kereta Kelisa 660cc ini dan akan melakukan pengubahsuaian lain yang lebih segar, tetapi tidak lari daripada konsep Mira selain mempelbagaikan audio dalamnya,” katanya.

Eddywan yang juga seorang peniaga berkata, dia akan menyertai pertandingan sama di Singapura yang dijangka berlangsung pada Disember depan, sekali gus akan melakukan rekod peribadi iaitu menyertai pertandingan di luar negara.

“Kereta ‘Mira Gino’ saya ini pernah memenangi tempat pertama bagi kategori Kereta Terbaik pada Pameran Auto Kebangsaan di Bukit Jalil, tahun lalu dan ia adalah pencapaian tertinggi sepanjang bergiat aktif dalam seni pengubahsuaian kereta.”

Eddywan turut merangkul tempat pertama bagi kategori Mira Look pertandingan itu berkata, sebuah lagi kereta Kelisa berkonsepkan Mira Gino dengan warna dan pengubahsuaian yang hampir sama, tetapi tidak terlalu mengharapkan kemenangan kerana masih baru menerima ‘sentuhan’.

Bagi pemenang kategori Anugerah Pilihan Harian Metro, Law Yin Hun, 23, kereta antik Moris Minor tahun 1952 yang dibelinya tahun lalu pada harga RM6,000 daripada seorang kenalan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Saya mendapat galakan dari keluarga dan rakan, malah ada yang tersenyum sinis apabila saya menyatakan hasrat mahu ‘menghidupkan’ semula era kegemilangan Moris Minor. Tetapi saya sangat mengambil berat dari modifikasinya kerana tidak mahu terlalu sarat hingga menghilangkan keaslian ciri dan bentuknya.

“Moris Minor mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia permotoran tambahan pula ia dimiliki golongan tertentu pada era kemunculannya. Saya tidak akan mengubah tema moden antik dan bersesuaian dengan arus semasa serta mengekal­kan warna merah hati.

Yin Hun yang juga anak kelahiran Bukit Mertajam berkata, dia masih berat hati mahu menukar baru atau mengubah­suai enjin keretanya malah sukar mendapatkan barangan ganti jika ada satu daripadanya yang mengalami kerosakan atau perlu diperbaiki.

“Hobi baru saya ini memang boleh menyatukan semua orang terutama keluarga yang semakin meminati bidang modifikasi dan adakalanya mereka juga memberikan pendapat serta bertukar fikiran. Rakan juga banyak memberi galakan terutama ahli Kelab SiangHo Car Audio yang sering membantu mendapatkan informasi terkini mengenai pengubahsuaian kereta antik,” katanya.

Jika modifikasi tempat duduk yang empuk dan selesa menjadi tren terkini, kereta Yin Hun juga tidak kurang hebatnya iaitu menukarkan bahagian tempat duduk hadapan dengan kepingan mirip rangka tempat duduk yang diperbuat daripada plastik bagi menimbulkan pandangan luas dalam keretanya.

Pada bahagian tempat duduk belakang pula diletakkan empat set woofer yang boleh menimbulkan rasa teruja apabila menaiki kenderaan antik, tetapi mempunyai audio yang sangat baik.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan lebih ramai peminat Moris Minor kerana selain boleh bertukar pendapat, kegemilangan kereta ini juga boleh dihidupkan semula.

“Dengan pencapaian ini, semangat saya makin berkobar bagi meneruskan minat dalam pengubahsuaian kereta antik walaupun masih ‘hijau’ dalam informasi kereta Moris Minor,” katanya yang turut memenangi tempat ketiga bagi dua lagi kategori iaitu Ekstrem Modifikasi Terbuka dan Empat Woofer Audio Terbaik.

Lebih 100 penyertaan diterima dalam pertandingan itu sekali gus menjadi jumlah yang terbesar berbanding penganjuran di KGHM.

Selain itu, sebanyak tiga lagi kategori dipertandingkan iaitu Proton Modifikasi, Perodua Modifikasi dan Dua Woofer Audio Terbaik.