Gazebo tempat bersantai

Gazebo tempat bersantai



Gazebo adalah gabungan dua perkataan, ‘gaze’ berasal dari bahasa Inggeris bermaksud memandang.

Sementara ‘ebo’ berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud keluar.

Gabungan dua perkataan itu membawa makna menjadi tempat untuk memandang keluar.

Gazebo yang tidak berdinding itu dapat menggambarkan bahawa ia tempat duduk dan bersantai sambil memandang sekeliling taman atau rumah.

Pada masa dulu gazebo atau wakaf digunakan sebagai tempat bagi pengembara untuk beristirahat.

Ia turut berfungsi sebagai tempat beristirahat di bangunan kecil.

Golongan petani sering melepaskan penat selepas seharian bekerja dengan bersantai di gazebo di kawasan sawah atau ladang.

Malah ia dibina sebagai satu cara bagi seseorang membuat amal untuk kegunaan umum.

Asalnya ia banyak di negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Di Kelantan banyak tempat dinamakan dengan wakaf seperti Wakaf Che Yeh dan Wakaf Mempelam.

Namun, fungsi gazebo perlahan-lahan berubah menjadi aksesori pelengkap bagi menyerlahkan nilai estetika dan keindahan sesebuah taman atau halaman.

Reka bentuk gazebo pula lebih bersifat khusus dan turut mengalami pelbagai perubahan.

Biasanya ia dibina terpisah dari bangunan utama.

Tetapi pada umumnya gazebo dapat dikenali daripada bentuk dasarnya yang terdiri daripada atap, tiang-tiang, tidak berdinding dan lantai lebih tinggi dari paras permukaan tanah di sekitarnya.

Bentuk gazebo umumnya geometri, segi empat, segi enam atau lingkaran.

Tidak dinafikan gazebo menghadirkan kesan tersendiri dari pelbagai aspek kerana di sana wujudnya interaksi sosial di antara anggota keluarga, sahabat handai dan tetamu.

Pastinya daripada proses sosial dan interaksi itu meningkatkan kebahagiaan dan keharmonian hidup sekeluarga selain keindahan taman diadaptasikan sepenuhnya.