Jumaat,25 Julai 2014

Hanya 14 peserta jawab tepat

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Kreatif dan di luar kotak pemikiran. Begitulah kreativiti dipamerkan pembaca setia akhbar nombor satu negara, Harian Metro (HM) dalam borang penyertaan Peraduan Mudah Menang Harian Metro.

Menurut Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) HM, Ahmad Salim Bachok, peraduan anjuran HM ini berjaya mendapat sambutan luar biasa.


“Lebih 20,000 penyertaan diterima pihak penganjur bagi peraduan Siri 1 Minggu 1 yang lalu.

“Peraduan yang menawarkan hadiah lebih RM150,000 ini bukan saja menarik minat pembaca di Semenanjung Malaysia, tetapi turut mendapat penyertaan dari Sabah dan Sarawak,” katanya, semalam.


Terdahulu, beliau bersama Eksekutif Bahagian Audit Dalaman Media Prima, Fatmawati Shahril dan Eksekutif Bahagian Penjenamaan HM, Jabatan Pemasaran The New Straits Times Press (M) Berhad, Khairunnisa Saharuddin melakukan cabutan pemenang bagi lapan hadiah mingguan, termasuk hadiah utama sebuah motosikal Modenas Passion 125.


Panel hakim mendapati hanya 14 peserta menjawab dengan tepat semua 12 jawapan dikemukakan (dua soalan setiap hari) dan semua pemenang akan dihubungi HM bermula hari ini.

Foto

AHMAD Salim (tengah) bersama Fatmawati (kiri) dan Khairunnisa meneliti borang peraduan yang diterima.

Kebanyakan peserta tidak menjawab soalan Siri 1 (Isnin), Siri 3 (Rabu) dan Siri 4 (Khamis) dengan tepat. Bagi Siri 1, jawapan soalan 1 (pembayang: ‘tetap hatinya’) sepatutnya TABAH, tetapi ramai yang menjawab SABAR. Soalan 2 pula patut dijawab DESING (pembayang: tak boleh tahan di telinga), bukannya BISING.


SANDING adalah jawapan bagi soalan 1 Siri 3, bukannya GANDING manakala SABUNG, bukannya TARUNG bagi soalan 2. Lebih 90 peratus peserta menjawab salah bagi soalan Siri 4. Jawapan soalan 1 adalah KAYAP (pembayang: sakit kulit berbintik merah yang gatal), bukannya KURAP manakala perkataan ‘tolak, kata orang seberang’ (Indonesia) adalah DORONG bukannya SORONG atau SOKONG.

Jawapan bagi Siri 2 pula adalah MEKAR, bukan SEGAR dan PUSING (sakit kepala, kata orang Indonesia), bukan PENING. Soalan Siri 5 pula perlu dijawab PERAP (bukan PERAM) dan CURAM (bukan JUNAM atau JURAM). Sementara PEDIH dan LANCANG, bukan PERIH dan LANTANG adalah jawapan bagi soalan Siri 6.


Lapan pemenang mingguan bagi minggu pertama Peraduan Mudah Menang Harian Metro itu bakal menerima motosikal Modenas Passion 125 (seorang), tablet Galaxy Tab 3 Samsung (dua orang) dan wang tunai RM500 (lima orang).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/02
`