Hiasan ringkas cipta suasana selesa

Hiasan ringkas cipta suasana selesa

Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my


Idea penataan hebat itu sering menjadi keutamaan kebanyakan pemilik kediaman dalam memanfaatkan keluasan ruang yang ada.

Kesinambungan itu, setiap pemilik kediaman mempunyai cita rasa berbeza mengikut keperluan dan gaya hidup masing-masing.

Tidak terkecuali, pegawai kerajaan, Faizah Omar, 56, dan suami tercinta, Razak Abd Jalil, 56, merancang penataan di kediamannya di Taman Melati, Setapak Kuala Lumpur.

“Kami cuba mengetengahkan idea penataan menarik dengan mengambil kira pelbagai aspek supaya lebih mencetuskan suasana ceria.

“Perkara paling penting ialah keselesaan dan praktikal kerana segenap ruang perlu diberi perhatian supaya keseimbangan penataan dapat ditampilkan sepenuhnya,” kata anak kelahiran Segamat, Johor ini.

Bagi mengelak kekeliruan dan kesesuaian penataan, Melati Evergreen Enterprise turut dilantik sebagai pakar hiasan dalaman untuk kediaman itu.

Daripada pengubahsuaian hingga reka letak sempurna setiap perabot dan aksesori hiasan, segalanya disesuaikan dengan cita rasa pemiliknya.

Perincian tata hias bermula dengan keindahan penataan ruang tamu yang menjadikan dinding berlatarkan batu-batuan semula jadi sebagai titik fokal.

Pilihan set perabot jati dan hiasan ringkas di ruang berkenaan bertujuan mencipta suasana selesa sepanjang masa terutama ketika kehadiran tetamu.

Bersebelahan ruang tamu, ruang santai atau menonton diwujudkan sebaik mungkin dan menjadi tumpuan untuk keluarga dan sanak saudara berkumpul.

Dinding yang diubah suai turut menjadi pintu gelongsor, membenarkan pemandangan indah landskap di luar sana dapat dilihat terus dari ruang berkenaan.

Desiran air dari kolam berpancuran juga dapat menghiburkan halwa telinga ketika bersantai sambil menghirup udara petang.

Suasana ruang yang lapang dan tidak disaratkan dengan perabot atau aksesori hiasan turut memberikan cetusan rasa berbeza.

Bersebelahan ruang santai atau menonton itu, reka letak bilik bacaan juga tidak kurang hebatnya.

“Kewujudan bilik bacaan ini penting sebagai simbolik dunia keilmuan dan fokus pembelajaran yang perlu dititikberatkan dalam apa jua keadaan.

“Pengubahsuaiannya yang terletak bersebelahan laman hijau tentunya memberikan suasana tenang sepanjang masa sebaik mata terpandang panorama indah di luar sana,” katanya yang menjadikan hujung minggu antara waktu terbaik menyelenggara laman itu.

Bagaimanapun, keunikan idea penataan kediaman Faizah tidak terhenti di situ kerana sudut bawah tangga untuk ke tingkat atas mempunyai kombinasi dekorasi menarik.

Memanfaatkan keluasan ruang yang ada, sudut itu diserikan dengan elemen hijau dan beberapa tanaman hiasan ditempatkan untuk menzahirkan suasana ala semula jadi.

Menuju ke tingkat atas, tangga turut diserikan dengan kehadiran jambangan indah bunga hiasan bagaikan bunga segar dan aksesori unik pada kekisinya.

Mata pula tidak terlepas pandang lampu chandelier yang digantung sekali gus memberikan sudut pandangan eksklusif.

Sememangnya penataan segenap bilik tidak kurang hebatnya dan masih mempertahankan aspek keselesaan berpanjangan.

Berkongsi keunikan bilik air di tingkat atas, Faizah dan suami memperuntukkan bajet supaya kelihatan sempurna serta berbeza.

Suasana unik dan dunia berbeza nyata mewarnai bilik air itu dengan kemasan lantai dan dinding eksklusif yang jarang ditemui di kediaman lain.

Tidak hairanlah kediaman teres yang tersergam indah itu benar-benar mencuri perhatian sesiapa saja melewatinya.

Tiang seri yang dibaluti batu-batuan rona semula jadi jenis ‘broken stone palimanan’ menambahkan rasa ingin tahu tetamu untuk melangkah ke ruang seterusnya.

Suasana hijau yang terbentang di depan mata mengungkapkan persepsi tersendiri kepada penghuni dan tetamu yang bertandang. Idea reka letak yang terancang memperlihatkan sebuah latar panorama indah disulam landskap lembut dan kejur.

“Ini kerana terjemahkan idea sesuai dengan pilihan konsep pastinya memberikan kepuasan serta makna tersendiri hingga mengubah keseluruhan pemandangan di kawasan kediaman kita,” katanya yang turut berkongsi idea dengan tiga cahaya matanya.

Penzahiran taman indah itu terus memperlihatkan landskap baru dengan bahagian pagar bersebelahan sudut santai dihiasi tanaman seperti tomatocacus, loropothilum, song of paradise, muraya, bunga kertas, pilantus dan cuphia.