Kain tenun Pahang indah

Kain tenun Pahang indah



Sejarah negeri itu ada mencatatkan bahawa sekitar 1,722 orang besar Bugis yang bernama Tok Tuan atau Keraing Aji berkunjung dan menetap di Kampung Mengkasar, Pekan.

Dialah yang memperbaiki cara-cara menenun kain sutera tempatan.

Perusahaan menenun di Pahang menggunakan benang kapas dan sutera untuk menghasilkan kain sarung atau samping.

Pada awalnya penenun menggunakan bahan semula jadi untuk mewarna benang seperti biru dari daun terung dan kuning daripada kunyit.

Bagi mematikan warna, mereka menggunakan perahan buah belimbing.

Kain tenun Pahang melalui sembilan proses bermula dengan mewarna benang, menerau, menganin, mengatur corak, menyusuk, menggulung, menghubung, meneguh dan menenun.

Di Pahang terdapat seramai 15 usahawan dan 90 tenaga kerja mengusahakan Tenun Pahang Diraja melalui projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kraf yang digerakkan Kraftangan Malaysia.

Kraftangan Malaysia sentiasa berusaha untuk membangunkan generasi pelapis bagi mempertahankan warisan itu dengan mewujudkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja di Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Institut itu menawarkan pengajian peringkat Sijil Seni Kraf Tenun Pahang Diraja selama dua tahun.

Maklumat lanjut kunjungi Institut Tenun Pahang Diraja itu atau menghubungi 09 - 422 1612.