MBHA bantu hotel bajet bermasalah

MBHA bantu hotel bajet bermasalah



Sehubungan itu, MBHA memperkenalkan konsep 3P sebagai strategi mereka membantu kementerian mencapai hasrat kerajaan untuk memajukan industri pelancongan negara ini dalam usaha memberikan saingan kepada industri pelancongan di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Ikuti temubual wartawan Harian Metro (HM), Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dengan Timbalan Presiden MBHA, Mohammed Hassan KB Hamzah, baru-baru ini.


>> BOLEH terangkan mengenai konsep atau maksud 3P yang diperkenalkan MBHA dan bila ia diperkenalkan?
Konsep 3P adalah konsep tiga serangkai hasil inisiatif MBHA bagi membantu Kementerian Pelancongan dalam mencapai perolehan RM168 bilion dengan jumlah pelancong berjumlah 36 juta pada 2020. Ia yang bermaksud pemutihan, pembersihan dan pembangunan sudah pun bermula sejak Jun tahun lalu.


>> Apa yang dimaksudkan dengan pemutihan, pembersihan dan pembangunan?
Pemutihan bermaksud MBHA melakukan perbincangan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasukan bomba bagi memastikan 1,500 hotel berdaftar di bawah kendalian MBHA mempunyai lesen perniagaan yang sah manakala konsep pemutihan pula bagi memastikan hotel MBHA sentiasa memberikan fokus perniagaan yang berpanjangan.

Sekiranya hotel MBHA dilihat sukar untuk meneruskan operasi atau pun mendapat kekangan daripada pihak tertentu kerana kekurangan infrastruktur, kami akan berbincang dengan pemilik hotel sama ada mereka mahu meneruskan operasi atau menutup perniagaan.

Bagi konsep pembangunan pula, MBHA akan mengadakan kursus pembinaan untuk meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan hotel. Salah satu kursus yang diadakan adalah Kursus Penambahbaikan Hotel MBHA-Promosi dan Pemasaran.

Kita juga akan sentiasa membuat promosi di dalam dan luar negara bagi memastikan pelancong datang ke hotel dan kita juga turut akan mendapatkan dana untuk hotel MBHA yang ingin mengembangkan perniagaan di seluruh negara dengan mengadakan perbincangan bersama pihak bank dengan sokongan kementerian sendiri.


>> Apa aktiviti atau kursus yang akan dijalankan MBHA pada tahun depan?
Mulai tahun depan, kita bercadang menganjurkan Kursus Pengemasan Bilik Hotel, Kursus Sambutan Pelanggan, Kursus Makanan dan Minuman, Kursus Keselamatan Hotel, Kursus Teknikal Hotel dan banyak lagi.


>> Sehingga hari ini sudah berapa ramai ahli dan kemudahan yang dimiliki MBHA serta apakah harapan MBHA?
Setakat ini kita mempunyai 1,500 ahli berdaftar terdiri daripada pemilik hotel bajet bertaraf 1 Orkid, 2 Orkid, 3 Orkid, 1 bintang dan 2 bintang. Dengan kemudahan 60,000 bilik hotel di seluruh negara, kita berharap jumlahnya akan sentiasa meningkat.

Justeru, kita menjemput pemilik hotel yang masih belum berdaftar dengan MBHA dapat menyertai kami agar MBHA akan menjadi satu persatuan yang kuat, sekali gus memastikan konsep 3P dapat dicapai dengan begitu bertenaga dengan barisan jentera yang kuat.


>>Apakah sasaran pihak MBHA sendiri?
Kami menyasarkan keahlian seramai 6,000 ahli dengan jumlah 200,000 bilik. Kami menjemput pemilik hotel untuk bergabung tenaga bersama kami mencapai hasrat kerajaan.

Kami mempunyai empat sasaran iaitu yang pertama untuk menarik pelancong ke negara ini melalui perkhidmatan dan imej yang baik. Kedua, kami menyasarkan pelancong akan memilih untuk menduduki hotel MBHA melalui bajet dan pakej yang disediakan.

Sasaran ketiga ialah pelancong yang menginap akan tinggal lebih lama dengan tarikan produk menarik yang disediakan berikutan hotel MBHA menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap, kedudukan strategik ke bandar dan pusat beli-belah, di samping hasil kraftangan penduduk tempatan.

Sasaran terakhir, kita menyasarkan pelancong yang datang akan kembali ke hotel MBHA kerana mereka menyukai produk kami.