Majlis Agama Islam negeri diarah pantau ajaran Syiah

Majlis Agama Islam negeri diarah pantau ajaran Syiah



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata,
penguatkuasaan terhadap ajaran yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal
Jamaah ini perlu diberi tumpuan dan dipandang serius kerana ia boleh merosakkan
akidah umat Islam dan mewujudkan perpecahan.

"Bukan saja ajaran Syiah malah ajaran dianggap sesat dan difatwakan kerajaan negeri harus dikuatkuasakan sebaik mungkin dengan menggunakan peruntukan yang sedia ada di majlis agama Islam negeri," katanya ditemui pada Majlis Kenduri Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini, hari ini.

Beliau berkata, hal berkaitan ajaran Syiah dan ajaran sesat ini adalah di
bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui majlis agama Islam negeri-negeri dan
bukannya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Soal ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam yang terkeluar daripada
ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah harus dititikberatkan.

"Saya mengharapkan majlis agama Islam dan juga kerajaan negeri Kedah melihat untuk memperkemaskan penguatkuasaan terhadap ajaran-ajaran sesat yang sudah digazetkan salah dan harus diberikan penekanan supaya ia tidak berkembang dan menular," katanya.

Jamil Khir berkata, walaupun urusan agama terletak di bawah negeri,
Jakim sentiasa memantau masalah ini dan berharap orang ramai yang mengetahui
kegiatan ini segera mengadu kepada pihak berkuasa majlis agama Islam negeri
untuk tindakan segera.