Manfaat cuti sekolah

Manfaat cuti sekolah

Oleh Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


Pengunjung, Mohd Ghazali Ismail, berkata dia sekeluarga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengunjungi pameran foto yang julung kali dianjurkan akhbar nombor 1 Malaysia di negeri itu.


“Kebetulan pameran dianjurkan ketika cuti sekolah, saya membawa dua anak, Amira Fatiha dan Amirul Fitri, masing-masing berusia tujuh dan enam tahun, ke sini.


“Penganjuran seperti ini memberi ruang dan peluang kepada pembaca mengenali akhbar No 1 Malaysia ini dengan lebih dekat lagi,” katanya, semalam.


Ghazali yang juga penyelia di sebuah syarikat swasta berkata, program seumpama itu wajar dianjurkan pada masa depan sebagai usaha mendekatkan pembaca dengan warga kerja Harian Metro.


Sementara itu, Amira berkata, dia bercadang untuk mendaftar dalam pertandingan mewarna pada hujung minggu ini.


“Saya gemar melukis serta mewarna dan akan menggunakan peluang ini untuk menonjolkan bakat dalam pertandingan berkenaan.


“Meskipun menyedari persaingan sengit daripada peserta lain, sekurang-kurangnya cuti sekolah ini dapat dimanfaatkan dengan perkara yang berfaedah,” katanya.


Murid tahun enam, Radzmee Abd Razak, 12, berpendapat pameran foto itu secara tidak langsung mendidik golongan murid sepertinya untuk mengingati berita penting yang pernah berlaku.


“Sekurang-kurangnya kami dapat mengetahui sejarah di dalam dan luar negara sepanjang 20 tahun ini. “Secara tidak langsung bukan hanya golongan dewasa, malah generasi muda termasuk kanak-kanak juga mendapat manfaat daripada pameran ini,” katanya.


Pameran Foto yang akan berakhir pada 12 Disember ini memberi peluang kepada rakyat Johor dan Singapura mendekati akhbar yang wujud sejak cetakan pertama pada 25 Mac 1991.