Nora & Sam rasa selesa

Nora & Sam rasa selesa

Oleh Ramlah Zainal
loveroses.anna@gmail.com


Dua Kalimah jelas memiliki mesej yang mendalam untuk disampaikan kepada penonton kerana cerita ini mengangkat kisah kehidupan manusia yang tersasar dari landasan Islam dan akhirnya ingin kembali mencari keredaan Ilahi.

Filem arahan pengarah muda Eyra Rahman ini julung kali menggandingkan bintang popular Shaheizy Sam dan Nora Danish di layar besar.

Sam ketika ditemui RAP, akui tertarik membintangi Dua Kalimah kerana ingin menyahut cabaran dalam genre Islamik yang belum pernah dicubanya sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan.

“Saya tidak pernah berlakon dalam filem genre ini. Berbanding genre lain, genre ini agak sensitif dan kita perlu peka dengan perkara yang membabitkan isu keagamaan supaya tidak ada fakta yang salah dari segi agama.

“Saya juga membuat kajian mendalam di Internet mengenai mereka yang diserang penyakit angin ahmar untuk menjiwai babak Aiman yang diserang penyakit itu supaya ia nampak tidak dibuat-buat sekali gus memberi kesan mendalam pada penonton,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Sam nampaknya tidak sukar mencari keserasian ketika bergandingan dengan Nora dalam filem itu.

“Kami berdua cepat serasi kerana Nora juga memberi apa yang saya kehendaki dalam filem ini. Sepanjang penggambaran filem ini, Nora juga buat saya rasa selesa untuk menjiwai babak romantik Selina dan Aiman.

“Apa yang penting, babak romantik dilakonkan itu nampaknya menjadi dan tidak keterlaluan kepada penonton. Walaupun masih baru dalam filem, saya melihat banyak peningkatan dalam lakonan Nora sekarang. Apapun, saya percaya filem ini memiliki tarikan tersendiri kerana banyak pengajaran yang ingin disampaikan pada penonton,” katanya.


Sam menangis, Nora kena mandi jenazah

Sam yang yang baru saja mengungguli kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 (AIFFA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCKK), Sabtu lalu berkata, fokus utamanya kini untuk mengukuhkan lagi misinya dalam bidang lakonan.

“Selepas menang anugerah di AIFFA, sampai masanya saya lebih selektif dengan pengarah yang saya ingin bekerja dan naskhah yang ditawarkan kerana saya inginkan yang terbaik untuk karier lakonan pada 2014. Terbaru, saya akan berlakon dalam filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly terbitan Red Films Sdn Bhd,” katanya.

Nora yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan mengakui impiannya untuk bergandingan dengan Sam akhirnya kesampaian dalam filem itu.

“Saya teruja apabila dapat tahu digandingkan dengan Sam selaku teraju utama filem ini. Walaupun kami bernaung di bawah payung Metrowealth (MIG), baru sekarang kami dapat digandingkan sama dalam filem. Terus terang, saya sangat mengagumi bakat Sam kerana dia seorang pelakon yang hebat menerusi pelbagai pencapaiannya dalam bidang seni hari ini.

“Pada mulanya saya rasa takut berlakon dengannya tetapi Sam berjaya buat saya selesa di lokasi filem ini yang menjalani penggambaran, lapan bulan lalu. Sam juga banyak membimbing saya dari aspek lakonan supaya menjadi lebih bersahaja. Sebelum berlakon, dia akan membuat kajian mengenai sesuatu watak di laman YouTube terlebih dulu.

“Saya percaya, peminat pasti tersentuh hati apabila menonton salah satu babak Sam menangis untuk menjiwai watak Aiman dalam filem ini. Babak itu lima minit saja tapi kita dapat merasainya,” katanya.

Ditanya cabaran melakonkan watak Selina, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli, 3, ini berkata dia ditawarkan watak yang lebih serius dalam Dua Kalimah.

“Saya cukup tertarik untuk melakonkan watak Selina, anak orang kaya yang suka bersosial tetapi terpaksa bertudung untuk mengaburi mata orang kampung apabila mengikut teman lelakinya, Aiman (lakonan Sam) pulang ke kampung.

“Saya juga tidak ada masalah pegang watak bertudung kerana pernah berlakon watak bertudung dalam Mencari Cinta dan ternyata peminat suka melihat imej saya seperti itu. Dari segi babak yang susah pula adalah ketika Selina turut serta memandikan jenazah seorang wanita yang meninggal di kampung itu,” katanya.


Plot Dua Kalimah

Filem ini menceritakan mengenai Aiman, pemuda yang disayangi dan disenangi penduduk kampung kerana akhlaknya yang baik. Dia juga memiliki kekasih yang solehah di kampungnya, Humaira dan berjanji untuk mengahwininya. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila Aiman melanjutkan pelajarannya ke luar negara dan jatuh cinta dengan Selena.

Apabila Aiman mahu pulang ke kampung halamannya, Selina mahu mengikut kekasihnya itu. Kemudian konflik berlaku apabila Aiman dibesarkan dalam keluarga yang penuh didikan agama, manakala, Selina pula sebaliknya gadis liar.

Barisan pelakon lain Dua Kalimah adalah Yana Samsudin, Shima Anuar, Mikael Andre, Siti Aziz, Adiba Yunus, Niezam Zaidi, Wan Hanafi Su, Kartina Aziz, Rashidah Jaafar, Azlan Komeng, Kay Maria dan Ustaz Dini. Ia membabitkan lokasi indah di pesisiran pantai Kemaman, Terengganu.