Panduan kemas dapur

Panduan kemas dapur

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@mediaprima.com.my


Segenap ruang perlu dibersihkan termasuk percikan minyak masak yang melekit atau kesan tumpahan makanan di meja, dapur dan lantai selain rak serta almari dapur berhabuk.

Tugas ini memang memenatkan apatah lagi jika memiliki anak kecil malah jika dapur sering digunakan, rutin mengemas seharusnya menjadi lebih kerap.

Berikut beberapa panduan untuk meringankan bebanan kerja mengemas di dapur:

  • Kumpul semua barangan atau peralatan dapur yang jarang digunakan.

    Ini termasuk bekas aiskrim, botol plastik dan peralatan memasak seperti penapis. Masukkan semua barang ke dalam satu kotak. Simpan dalam stor dan jika masih tidak digunakan, buang atau berikan kepada orang lain.

    Selain itu, penggunaan barangan didapur perlu diminimumkan mengikut kesesuaian keluarga.

    Barangan elektrik yang diletak di atas kaunter dapur juga tidak perlu terlalu banyak. Jika barangan terbabit jarang digunakan simpan saja dalam kabinet dapur.

    Dapur biarlah teratur supaya kerja memasak menjadi lebih mudah.


  • Selepas memasak basuh semua peralatan memasak.

    Jangan tangguhkan kerja mencuci hingga habis makan kerana kotoran yang melekat adakalanya sukar dibersihkan.

    Menangguhkan kerja mencuci boleh menambahkan bebanan kerja. Selain itu, sentiasa bersihkan segala kotoran yang terhasil ketika proses memasak. Perlu sentiasa mengelap bahagian yang tercalit kotoran ketika memasak.

    Elakkan sikap suka mengumpul pinggan mangkuk untuk dibasuh. Selagi muat sinki, selagi itulah pinggan mangkuk dikumpul tidak dicuci.

    Jika sentiasa memastikan sinki dapur bersih, anak mudah saja membasuh pinggan mereka selepas makan tanpa disuruh. Begitu juga dengan sampah di dapur. Jangan biarkan sampah hingga berbau dan berulat baru hendak membuangnya.

    Selain itu, tuala dapur dan span juga perlu dipastikan sentiasa bersih. Apabila basah, ia akan membiakkan bakteria tanpa disedari. Basuh tuala dapur dan span setiap minggu menggunakan air panas.


  • Gunakan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu keras atau plastik serta tidak mempunyai kesan retakan yang ketara.

    Elak memilih papan pemotong yang diperbuat daripada bahan lembut. Basuh papan pemotong menggunakan air panas, sabun dan berus bahagian kotor. Bersihkan lagi menggunakan campuran peluntur dan air.

    Papan pemotong perlu dibersihkan dengan rapi terutama selepas digunakan untuk makanan mentah seperti makanan laut dan ayam serta sebelum digunakan untuk makanan yang sedia dimakan.

    Jika boleh, tetapkan satu papan pemotong untuk bahan mentah dan satu lagi untuk makanan segera seperti roti dan buah-buahan.


  • Basuh permukaan tin makanan sebelum dibuka untuk mengelakkan kotoran masuk ke dalam makanan. Kemudian bersihkan bilah pembuka tin selepas setiap kali penggunaan.


  • Mesin pengisar perlu dibuka dan dibersihkan selepas digunakan bagi mengelakkan kesan kotoran melekat.


  • Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan air suam. Jangan sesekali menggunakan sabun atau bahan pencuci.