Jumaat,19 September 2014

Pesta beli-belah

Oleh Michelle Gun

Kuala Lumpur: Kaki berbelanja di negara ini berpeluang mendapatkan lebih 55 jenis barang dan perkhidmatan pada harga istimewa menerusi Jualan Bersepadu 1Malaysia yang bermula hari ini.

Jualan itu yang berlangsung sempena Karnival Jualan Mega 1Malaysia akan berakhir pada 1 September ini dan membabitkan 940 syarikat dengan 10,707 cawangan di seluruh negara.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, jualan itu inisiatif kementerian sebagai antara projek di bawah Program Transformasi Ekonomi dalam memperkembangkan ekonomi sektor peruncitan negara.

“Antara sektor yang terbabit dalam jualan tahun ini adalah songket, batik, kraftangan, syarikat penerbangan, perhotelan, spa, perbankan termasuk kedai dalam talian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan Menterinya, Datuk Hasan Malek di Majlis Pelancaran Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Bersepadu 1Malaysia di Kompleks Kraf, semalam.


Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, kementerian memilih tempoh berkenaan untuk melangsungkan kedua-dua jualan ini secara serentak bagi menarik pelancong dari ASEAN, Australia dan negara timur tengah.


“Pelbagai tawaran menarik dan insentif antaranya diskaun untuk produk batik, songket, kraftangan termasuk promosi penginapan serta pemberian kopi dan makanan percuma di stesen minyak terpilih,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan seramai 26 juta pelancong melawat Malaysia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29
`