Polis percaya masih ada musuh bersembunyi di Kampung Tanduo: KPN

Polis percaya masih ada musuh bersembunyi di Kampung Tanduo: KPN



Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata tindakan susulan selepas serangan ofensif terhadap kumpulan pengganas itu dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera.

"Saya tidak mahu melihat anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan tentera melakukan serangan ofensif terhadap pengganas dari Sulu di Kampung Tanduo pada jam 7 pagi.

Sementara itu, Ismail menafikan laporan media Filipina yang mendakwa kumpulan daripada keluarga Kiram menemui mayat anggota pasukan keselamatan Malaysia dan dakwaan keluarga itu bahawa mayat penceroboh diperlakukan tanpa perikemanusiaan.

"(Kenyataan) itu tidak tepat sama sekali. Saya dukacita dengan laporan itu, sepatutnya mereka merujuk kepada pihak rasmi," katanya.

Beliau berkata laporan seumpama itu adalah satu dakyah yang boleh menggugat ketenteraman awam di Sabah. - Bernama