Sabtu,25 Oktober 2014

Rumah mampu milik terpinggir

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

SEORANG rakan menempuh perjalanan antara 45 minit hingga sejam sehala dengan jarak kira-kira 50 kilometer hampir setiap hari dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah ke Georgetown, Pulau Pinang untuk bekerja.

Dengan jarak hampir 100 kilometer pergi dan balik, dia memperuntukkan perbelanjaan melebihi RM20 sehari dan lebih RM500 sebulan untuk kos minyak, tol serta makan dan minum.


Jumlah itu mungkin bertambah mengikut keadaan dan keperluan dan sudah pasti kosnya lebih tinggi setiap bulan.

Menurutnya, pemilihan Sungai Petani sebagai lokasi kediamannya disebabkan kawasan itu harga rumah masih mampu dimiliki berbanding di Pulau Pinang, khususnya di bahagian pulau.


Meskipun terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan setiap bulan, namun katanya jumlah itu masih rendah berbanding jika dia membeli rumah di Pulau Mutiara yang semakin hari semakin tinggi harganya.


Purata harga rumah yang terlalu tinggi sehingga melebihi setengah juta ringgit seunit antara faktor menyebabkan ramai masyarakat Melayu, khususnya di Pulau Pinang berhijrah ke kawasan luar bandar dan negeri jiran seperti Sungai Petani, Kulim, Padang Serai dan Parit Buntar.

Di bahagian pulau negeri itu, harga tanah yang terlampau tinggi menyebabkan kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terhalang seperti mana dihadapi rakan tadi.


Sebagai contoh, harga rumah di Balik Pulau yang mencecah jutaan ringgit mengakibatkan orang Melayu di situ tidak mampu memilikinya lalu mereka terpaksa mencari kawasan lain termasuk di tanah besar.

Rumah berharga sehingga RM500,000 seunit yang dibangunkan di kawasan itu tidak mampu dimiliki penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, petani, peniaga dan pekerja kilang.


Berdasarkan Kajian Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE) mendapati purata harga rumah di Pulau Pinang dua tahun lalu ialah RM540,000 seunit iaitu lapan kali ganda lebih tinggi daripada purata pendapatan tahunan isi rumah penduduk iaitu sekitar RM67,500.


Malah, purata harga rumah di negeri itu kira-kira 27 peratus lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur yang berharga RM390,000 seunit.


Penyelidik Kanan PReCISE, Mariani Ali Amran berkata, kemampuan orang Melayu untuk memiliki rumah terutama di kawasan kegiatan ekonomi dan pentadbiran terhalang akibat harga tanah terlampau tinggi.


Di Daerah Timur Laut, harga sekaki persegi tanah antara RM210 hingga RM250 berbanding hanya RM35 hingga RM40 di Balik Pulau. Harga tanah yang tinggi memberi impak kepada lambungan harga seunit unit rumah.


“Kami berpendapat ada beberapa punca perpindahan orang Melayu ke luar Pulau Pinang, termasuk masalah harga tanah dan perumahan yang melambung tinggi.


“Pejabat Tanah dan Galian merekodkan hanya 0.56 peratus keluasan tanah di Daerah Timur Laut dimiliki orang Melayu,” katanya.


Kenyataan bertajuk ‘Melayu Pulau Pinang: Mengecapi Masa Depan Yang Samar’ dikeluarkan berikutan perdebatan mengenai populasi Melayu Pulau Pinang pada 2010 berkurangan kepada 636,146 orang berbanding 654,300 pada 2009, penurunan seramai 18,154 orang.


Berikutan penurunan itu, kaum Cina yang berjumlah 670,400 orang pada 2010 menjadi kumpulan terbesar yang mewakili 42.9 peratus penduduk Pulau Pinang berbanding Melayu yang mewakili 40.7 peratus.


Pada 2009, orang Melayu menjadi kumpulan terbesar yang mewakili sebanyak 42. 4 peratus penduduk Pulau Pinang berbanding kaum Cina (40.9 peratus).


Mariani berkata, penurunan bilangan penduduk Melayu di Pulau Pinang juga disebabkan peruntukan kuota perumahan 30 peratus unit rumah dan diskaun 10 peratus untuk pembeli Bumiputera gagal menambah pemilikan oleh golongan itu.


Katanya, perkara itu berlaku berikutan harga kebanyakan rumah kos rendah dan sederhana rendah adalah tinggi serta tidak selaras dengan kadar pendapatan penduduk yang berpendapatan rendah serta sederhana rendah.


“Walaupun Pulau Pinang mengalami perkembangan ekonomi yang rancak, masih ada 4,703 keluarga setinggan dengan purata 4.2 isu rumah di negeri ini,” katanya. Mariani menegaskan, masalah ketidakmampuan orang Melayu Pulau Pinang memberi kesan peminggiran ke atas kaum itu kerana mereka terpaksa berpindah dari bahagian pulau ke tanah besar serta negeri jiran.


Berdasarkan maklumat PReCISE, tanah milik orang Melayu untuk keseluruhan iaitu di bahagian pulau dan Seberang Perai ialah 20.41 peratus. Di pulau, pecahan tanah milik orang Melayu di Daerah Timur Laut ialah 1.16 peratus dan di Balik Pulau atau Barat Daya 15.07 peratus.


Sementara itu, Fellow Kanan Kajian Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (Seri), Dr Michael Lim Mah Hui, dalam satu laporan tahun lalu menyatakan harga rumah terlalu tinggi di bandar utama bukan saja menyebabkan golongan bawahan tidak mampu memiliki rumah, malah ia juga di luar kemampuan golongan pertengahan.


Kajian Seri mendapati, harga rumah di Pulau Pinang, terutama di bahagian pulau tinggi iaitu kira-kira RM540,000 pada 2009 dan harga itu lebih tinggi berbanding harga purata kediaman biasa di Kuala Lumpur sekitar RM390,000.


Justeru, beliau menggesa kerajaan Pulau Pinang memperbanyakkan rumah mampu milik dan mengawal pembinaan rumah mewah, khususnya di bahagian pulau.


“Penawaran dan permintaan untuk rumah tidak sepadan. Majoriti rakyat Malaysia mahukan rumah mampu dimiliki, namun pemaju cenderung membina rumah mahal,” katanya.


Sejak 1970-an, Pulau Pinang mengalami pembangunan pesat dan melalui transformasi berasaskan ekonomi tradisional dan bandar pelabuhan kepada negeri perindustrian bertaraf antarabangsa. Keadaan itu menyebabkan pembangunan hartanah terutama perumahan dan komersial menjadi keutamaan.


Tanah di Pulau Pinang yang boleh dibangunkan perumahan dan pembangunan komersial kini menjadi sangat terhad, sekali gus menjadikan harga tanah melambung. Dengan alasan itu, rumah yang dibina pemaju perumahan di negeri itu dijual pada harga terlalu mahal sehingga tidak lagi mampu dibeli dan dimiliki rakyat.


Umum mengetahui rumah teres dua tingkat di Pulau Pinang sekarang ini paling murah dijual pada harga RM700,000, manakala rumah teres tiga tingkat berharga sekurang-kurangnya RM1 juta. Harga banglo yang dijual pada 2010 dan 2011 ialah antara RM2.5 juta sehingga RM10 juta seunit.


Kondominium yang dibina dijual pada harga antara RM500,000 sehingga RM3 juta seunit.


Fenomena ini membimbangkan semua pihak di Pulau Pinang yang peka akan keseimbangan sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat. Keadaan ini jika tidak dikawal, ia bukan saja mengakibatkan rakyat Pulau Pinang kehilangan tempat tinggal, malah mengubah landskap, kegiatan ekonomi dan kehidupan di sesuatu kawasan itu.


Selain itu ia boleh mengakibatkan penduduk asal Pulau Pinang terpinggir serta dihimpit pembangunan pesat yang lebih mementingkan pembeli rumah mewah dari luar negara.


Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, memberi cadangan supaya pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan kepada pemaju untuk membangunkan lebih banyak projek perumahan kos rendah dan sederhana bagi membolehkan orang Melayu Pulau Pinang mampu memiliki rumah.


Katanya, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) boleh mengatasi masalah itu kerana mempunyai kuasa meluluskan projek.


Menurutnya, PBT itu boleh memberi kemudahan kepada pemaju seperti menaikkan peratusan unit rumah yang boleh dibina bagi membolehkan mereka membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana pada harga berpatutan.


Selain itu, beliau mencadangkan orang Melayu yang mempunyai tanah, terutama di bandar tidak menjualnya, tetapi membangunkannya dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pemaju bukan Melayu.


Penulis Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/10
`