Seni klasik gaya tanjak

Seni klasik gaya tanjak

Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Itulah pesona sepasang busana tradisional Melayu lama yang mewah dengan aksesorinya iaitu tengkolok yang juga disebut sebagai tanjak atau destar dan samping yang hadir dalam pelbagai bentuk serta warna.

Malah, memakai tanjak adalah kemestian bagi golongan lelaki Melayu dulu, ia melambangkan jati diri budaya Melayu yang unggul.

Menyorot latar belakang dan sejarahnya, baju Melayu dipercayai mula dipakai sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu kira-kira 700 tahun lalu.

Mengikut catatan dalam sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang pula, dihikayatkan bahawa Sultan Muhammad Syah akan menyarung baju Melayu ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipakai dengan cara sarung dan lengkap bertanjak.

Tanjak dan samping menjadi sebahagian daripada kelengkapan pakaian tradisional lelaki Melayu yang masih kekal sehingga ke hari ini. Seni lipatan dan ikatannya pula wujud di kalangan masyarakat Melayu sejak zaman awal kerajaan Melayu seperti Palembang, Jambi, Pagar Ruyung dan Kesultanan Melayu Melaka.

Menyelak Kamus Dewan, istilah tanjak (ada kalanya dirujuk sebagai setanjak), tengkolok dan destar adalah sinonim menerangkan mengenai hiasan kepala yang digunakan lelaki. Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan tiada perbezaan maksud antara tanjak, tengkolok dan destar, cuma panggilannya berbeza mengikut tempat di mana ia diguna pakai.

Contohnya, ia lebih dikenali sebagai destar atau deta di Negeri Sembilan, tanjak di Selangor, tengkolok pula di Perak manakala setangan di Kelantan dan Terengganu.

Justeru, atas dasar tanggungjawab dan mahu memberi pendedahan mengenai kepentingan teknik pemakaian samping dan tanjak kepada umum, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), bertindak menganjurkan Bengkel Busana Selangor bertajuk Teknik Pemakaian Samping dan Setanjak yang dirasmikan Pengerusinya, Dr Shafie Abu Bakar.

Bengkel itu bertujuan mengenal pasti, mengkaji, merekod dan mendokumentasikan segala bentuk warisan kesenian terutama dalam aspek keindahan kesenian falsafah pemakaian busana tradisi Selangor.

Ia turut bertujuan memartabat, mengangkat dan mempopularkan kembali pemakaian samping serta tanjak ini kepada generasi baru dan akan datang bagi kelangsungan identiti setempat. Padat juga berharap ia dapat mewujudkan jalinan kerjasama bersifat dua hala dengan pelbagai pihak supaya pemakaian busana tradisional ini boleh diabadikan sebagai salah satu nilai adat dan warisan.

Memetik pendapat pengkaji destar terkenal, Wan Yahaya, sejarah penciptaan tanjak bermula daripada idea untuk melindungi kepala daripada cuaca panas dan hujan. Apabila petani, pekebun dan nelayan turun bekerja di bendang atau menangkap ikan di laut, mereka akan menggunakan ikatan kain di kepala bagi melindungi diri daripada cuaca panas.

Lama-kelamaan, cara melilit kepala dengan kain ini melalui perubahan dari segi fungsinya yang berbeza mengikut tempat dan sehingga ke hari ini menjadi satu warisan seni milik bangsa Melayu.

Menurut pakar membuat tanjak, Muhamad Sharif Othman atau mesra dipanggil Pak Arip, kanak-kanak di negeri Selangor pada zaman nenek moyangnya mula memakai tanjak dan samping pada awal usia lagi terutama ketika mahu berkhatan.

“Kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas dan bakal berkhatan akan disandingkan di pelamin (jika ada majlis perkahwinan) selepas pengantin selesai sesi khatam al-Quran dan marhaban.

“Ia sebagai tanda menaikkan seri wajah dan juga menghilangkan perasaan gementar atau darah gemuruh kanak-kanak berkenaan. Jenis kain yang digunakan untuk membuat tanjak pula hanyalah kain kapas yang lembut dan kertas pula dijadikan bahan asas bagi memberi sokongan,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam seni pembuatan tanjak dan samping.

Baginya, rekaan tanjak dan samping melambangkan hasil seni klasik Melayu yang unik, indah, menarik dan cukup mengagumkan yang tiada di negara lain.

Teknik pembuatannya memerlukan jalinan dan kelembutan tangan yang sempurna supaya hasilnya betul dan tepat kerana terdapat 44 jenis tanjak berlainan dan 23 jenis ikatan samping di Malaysia.

“Untuk pengetahuan, setiap tanjak dan samping ada namanya dan peraturan yang perlu diikuti. Ini kerana, ia bertujuan membezakan negeri kelahiran, taraf dan darjat si pemakai.

“Contohnya, kaum kebanyakan tidak boleh memakai tanjak yang sama teknik pemakaiannya dengan golongan bangsawan, raja dan sultan serta kaum kerabatnya.

“Lipatan atau dikenali sebagai proses menakuk tanjak melambangkan status pemakainya. Seorang raja atau sultan memakai tanjak dengan lima takukan dan hujung tanjak dikenali sebagai lambaian kasih akan terletak di sebelah telinga kanannya. Bagi orang kebanyakan pula dibenarkan memakai tanjak yang mempunyai tiga takukan serta hujung tanjak berada di sebelah telinga kiri,” katanya yang ditemui ketika di bengkel berkenaan.

Bagaimanapun, senario yang dilihat kini masyarakat sudah tidak mengambil kira mengenai jenis tanjak dan teknik pemakaian samping yang betul apabila secara suka hati mereka bentuk tanjak tanpa mengambil kira aspek sejarah lagi.

Asalkan tanjak itu mirip rupa tanjak dan cantik dipandang, maka ia akan diguna pakai pengantin lelaki di majlis perkahwinannya mahupun penari lelaki ketika mempersembahkan tarian.

Justeru, Pak Arip menasihatkan golongan muda terutama pemilik butik pengantin, pereka fesyen, guru tari dan sebagainya supaya mengkaji terlebih dulu latar belakang tanjak dan samping agar kena cara pembuatan serta pemakaiannya.

Menurut Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Datuk Menteri Laksamana Alias Zakaria, reka bentuk atau solek tanjak adalah berbeza dan ia terbahagi kepada dua jenis iaitu reka bentuk tradisi dan reka bentuk hiasan.

Hampir semua reka bentuk tradisi mempunyai bentuk hiasan yang bersandarkan kepada alam, flora dan fauna. Tanjak yang berasaskan tumbuhan seperti solek ‘kacang dua helai daun’, ‘solok timba’, ‘sehelai daun’, ‘sirih kembar’, kuntum tak jadi’, ‘daun kopi’ dan sebagainya melambangkan manifestasi dari alam flora.

Contoh tanjak yang berasaskan binatang pula seperti solek ‘ayam patah kepak’, ‘gajah berjuang’, ‘balung ayam’, lang menyusur angin’, lang melayang’, ‘pari mudek’ dan sebagainya. Reka bentuk hiasan pula adalah tanjak berbentuk ciptaan baru yang sering digunakan oleh penari dalam persembahan kebudayaan.

Bahagian tanjak yang diberi nama tanah, gunung/daun, takuk, simpul kasih, tunas kasih, lambaian kasih dan gelembung kasih juga harus diketahui sebelum memulakan takukan.

Pada zaman dulu juga, jenis kain dan warna yang digunakan dalam proses menakuk mempunyai maksud tertentu. Jenis kain yang digunakan seseorang melambangkan status dan kedudukannya. Kain yang digunakan adalah pelbagai iaitu kain songket dan telepuk daripada benang sutera, emas atau perak untuk raja dan kerabatnya manakala kain pelangi untuk pahlawan dan hamba bendahara. Kain batik pula untuk anak Bugis, sutera hitam, kapas hitam dan bercorak pula untuk ketua adat.

Setiap penakuk tanjak juga mesti tahu 10 lipatan yang harus dilakukan di mana ia cukup simbolik melambangkan pertemuan antara pasangan dan kekasih. Ia dimulakan dengan teknik lipatan ‘langkah bermula’ yang membawa maksud percintaan, kemudian diikuti ‘risik melangkah’, ‘risik bertemu’ dan ‘cincin dikembangkan’ yang melambangkan proses pertunangan.

Apabila selesai peringkat berkenalan dan upacara merisik, lipatan diteruskan dengan ‘lambaian kasih’ yang melambangkan ucapan selamat tinggal anak perempuan kepada ibunya. ‘Kasih berjawab’ tanda si dara menerima risikan sang teruna manakala ‘kasih bermula dan ‘bertemu kasih’ pula menunjukkan hubungan antara suami isteri sebelum diakhiri dengan ‘gelombang kasih’ dan ‘lambaian kasih’ yang menandakan kegembiraan menerima kelahiran cahaya mata.

Sementara itu, terdapat pelbagai maksud tersirat dalam menggayakan ikatan samping. Contohnya, kepala kain songket seharusnya terletak di bahagian belakang punggung dan kalau si pemakai sudah beristeri, labuh kain songketnya haruslah di bawah lutut iaitu lebar dua jari dari paras lutut.

Jika dia masih lagi teruna, labuh kain samping perlu tepat pada tempurung lututnya. Lelaki yang berkedudukan tinggi pula, labuh kain samping harus betul-betul berada di bawah lutut.

Antara jenis ikatan samping yang terdapat di negara ini adalah ikatan kembung, ikatan lingkup, ikatan pahlawan, ikatan ombak beralun, ikatan cekak sembilan, ikatan fajar menyingsing, ikatan ayam teleng, ikatan juntaian kasih dan ikatan janda berhias.