Rabu,23 Julai 2014

Serangan akan berterusan

Bangkok: Panglima Tentera Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha semalam berkata, dia pasti serangan ganas pemberontak di selatan negara itu akan berterusan walaupun kerajaan bersetuju berunding dengan mereka.

Kata Prayuth, dia begitu pasti kerana banyak kumpulan pemberontak baru kini dibentuk dan mereka tidak tertakluk kepada arahan pihak yang menandatangani rundingan damai dengan Bangkok pada Sabtu lalu.


“Sumber risikan tentera mendapati, beberapa kumpulan pemberontak baru ditubuhkan.

“Walaupun mempunyai ideologi sama, mereka mahukan kuasa dan tidak akan menerima arahan daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang bersetuju berunding dengan kerajaan,” katanya.


Kenyataan Prayuth itu dibuat bagi mengulas serangan bom motosikal yang meragut dua anggota renjer Thailand di Yala pada Sabtu lalu.


Serangan itu turut mencederakan ramai mangsa lain. Dalam perjanjian bersejarah yang dianjurkan Malaysia, kerajaan Thailand dan BRN bersetuju memulakan rundingan damai bagi menamatkan konflik di wilayah yang ramai didiami penduduk beragama Islam di selatan negara itu.

Bagaimanapun, kata Prayuth, kumpulan pemberontak baru itu mahukan peranan politik selepas dipinggirkan sekian lama. Justeru, katanya, penentangan pemberontak di selatan Thailand pasti tidak akan dihentikan. Prayuth bagaimanapun mengalu-alukan kesediaan BRN berunding dengan Bangkok.


“Polis dan tentera akan terus meningkatkan langkah keselamatan di wilayah selatan dan kami perlukan sokongan moral daripada orang ramai,” katanya. - The Nation

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05
`