Siasat dakwaan landasan retak

Siasat dakwaan landasan retak

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hemtro.com.my


Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia bagi membolehkan panel itu melakukan penilaian khusus yang telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi menjamin keselamatan penumpang dan pesawat.

Beliau berkata, pelantikan itu sudah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Saya ingin memaklumkan kerajaan melantik Ikram Premier Consulting (IPC) sebagai perunding bebas bagi melaksanakan tanggungjawab ini.

“IPC dilantik pada 26 Februari lalu dan akan melihat secara khusus aspek keselamatan di laluan teksi, apron, landasan serta kawasan lain (di KLIA2).

“IPC juga akan memberi laporan awal terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara ini minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, tidak ada kesan retak tetapi hanya kesan tekanan tanah di kawasan landasan, apron dan tempat letak pesawat di KLIA2.

Beliau mengesahkan KLIA2 adalah selamat dan mempersoalkan kesahihan gambar dipaparkan menerusi sebuah portal yang menunjukkan berlaku keretakan di landasan pesawat.

KLIA2 dijangka beroperasi mengikut jadual pada 2 Mei depan.

Hishammuddin berkata, peniaga, vendor dan agensi kerajaan sudah mula memasuki bangunan KLIA2 bagi memperkemas dan mempersiapkan premis perniagaan dan pejabat masing-masing.

Beliau berkata, ia selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan surat pelepasan atau kelulusan untuk menggunakan bangunan terminal di lapangan terbang itu.