Jumaat,25 April 2014

Suami, ayah paling baik

Oleh YUSMIZAL DOLAH ALING

Subang Jaya: “Arwah sangat baik dan penyayang. Saya reda dengan pemergiannya sebagai perwira negara. Syukur kerana saya terpilih menjadi pasangan hidupnya genap 23 tahun.

“Kami mendirikan rumah tangga pada 3 Mac 1990 dan arwah meninggalkan kami pada malam 2 Mac lalu. Saya percaya ini semua sudah ditakdirkan.


“Terlalu banyak kenangan arwah tinggalkan, termasuk anak yang sangat kami sayangi,” kata Rosiah Dahlan, 52, balu Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar yang terbunuh dalam pertempuran dengan penceroboh di Semporna, Sabah.

Rosiah berkata, dia bersyukur arwah suami ‘pergi’ ketika berjuang mempertahankan kedaulatan tanah air biarpun pada mulanya berat untuk menerima hakikat itu.


“Saya percaya arwah dipinjamkan ke dunia ini selama 52 tahun dan saya pula terpilih sebagai pasangannya. Kini saya perlu meneruskan kehidupan dengan anak yang baik dan ia menjadi kenangan hidup saya bersama arwah.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tak putus-putus memberi sokongan kepada keluarga saya,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Taekwondo Bekas Perajurit Angkatan Tentera Malaysia Datuk Musa Talib.


Rosiah berkata, dia berbangga dengan arwah suami yang disifatkan sebagai lelaki terbaik pernah dikenalinya.

“Arwah suami adalah ayah, menantu serta rakan paling baik kepada yang mengenalinya. Biarpun sedih, kami sangat bangga dengannya,” katanya.


Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya kepada keluarga itu untuk meringankan beban.


Katanya, ia sebagai membalas budi arwah yang terkorban ketika bertempur dengan pengganas, 2 Mac lalu.


Sementara itu, anak sulung arwah, Amirul Shafiq, 22, berharap dapat menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat mengikut jadual untuk membantu ibunya dan keluarga.


Penuntut jurusan Pengurusan Perniagaan itu berkata, ketika ini dia masih bercuti kerana ingin bersama ibu dan dua adiknya, Amira Shahira, 20, serta Amira Shahida,17.


“Insya-Allah, minggu depan saya akan meneruskan pengajian seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
`