Rabu,17 September 2014

Taman tropika gaya Bali

SETIAP konsep taman memberikan sentuhan semula jadi yang menenangkan jiwa dan meredakan tekanan.

Elemen Bali yang cuba diterapkan memberikan suasana berbeza seiring keselesaan dan inspirasi yang anda inginkan.

Sebuah taman Bali yang melatari laman kediaman pastinya menggunakan pokok beriklim tropika sesuai dengan persekitaran negara ini sekali gus terciptanya taman tropika Bali.

Pokok kelapa yang ditanam di celah susur denai yang disusun dengan lantai pemijak semula jadi benar-benar menarik dan mencetuskan keinginan bersantai.


Ini kerana taman yang dibina seiring dengan usia pembinaan kediaman membuatkan latar landskap tampil matang dan sempurna.


Sekali gus membolehkan pokok membesar dalam suasana semula jadi dan dibiarkan hidup dengan proses fotosintesis yang lengkap kitarannya.

Sementara itu, kehadiran sebuah wakaf, kolam ikan, laluan pergola menggambarkan betapa penting sebuah landskap menarik sebagai simbolik ketenangan dan kedamaian di kediaman sendiri.

Reka letak lampu taman indah pelengkap gaya tropika Bali hakikatnya menyuntik visual pemandangan berbeza khususnya pada ketika malam.

Kolam ikan yang diselitkan dengan lantai pemijak menjadi laluan ke ruang tamu dan ruang makan membenarkan keindahan taman dapat disaksikan sepanjang masa.

Pemilihan pokok frangipani sebagai pelengkap taman amat sesuai kerana ia sinonim dengan gaya tropika Bali.

Taman juga tampil unik dengan koleksi tanaman heliconia yang tumbuh subur, hijau dan segar mewujudkan sistem pengaliran udara sempurna.

Pada masa sama, tanaman itu melindungi pancaran matahari terutama ketika petang.

Dalam menambahkan landskap kejur pada taman bergaya tropika Bali, penggunaan kayu landasan kereta api sebagai laluan pemijak mengilhamkan suasana berbeza di taman.

Landskap kejur itu penting bagi menonjolkan imej tropika sebagai penghubung antara taman dan ruang kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/18
`