Sabtu,30 Ogos 2014

Tangguh jika isytihar darurat

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Lahad Datu dan Semporna, Sabah hanya boleh ditangguhkan sekiranya kawasan diceroboh kumpulan pengganas Sulu diisytiharkan darurat oleh pihak berkuasa, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, sekiranya berlaku darurat, SPR meneliti peraturan dikeluarkan dalam perintah darurat dan mengambil pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan muktamad.


Katanya, daripada perintah itu SPR melihat, mengkaji dan meneliti seterusnya membawa perkara itu dalam perjumpaan khas membuat keputusan muktamad.

“Kalau ada perintah darurat begitulah keadaannya, mungkin (boleh dilewatkan), itu pun kalau ada perintah darurat, kami dapatkan maklumat terperinci daripada polis mengenai tahap keselamatan di situ, membabitkan kawasan yang tak terjejas, aman damai perlu diteruskan.


Bermakna (kejadian ini) situasi setempat saja, dari segi undang-undang kami ada peruntukan tertentu untuk bahagian berkenaan (kawasan tertentu) saja mungkin boleh ditangguhkan dulu dan sebagainya, itu pun bergantung kepada maklumat terperinci mengenai perintah darurat itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik Ibu Pejabat SPR di sini, semalam. Hadir sama, timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.


Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, beliau yakin konflik di Semporna dan Lahad Datu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sementara itu, 40 pemimpin parti politik seluruh negara hadir pada perjumpaan kali ke-14 yang diadakan bagi memberi penjelasan pembaharuan PRU13.


Antara pembaharuan adalah penggunaan dakwat kekal, pengundian awal, pemansuhan bantahan terhadap kertas penamaan calon, larangan menarik balik pencalonan, kertas penamaan calon dikemukakan dalam satu salinan saja, tempoh berkempen tidak kurang 11 hari dan membenarkan orang kelainan upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantunya mengundi.

Pembaharuan lain ialah pengubahsuaian susun atur dalam tempat mengundi, penggunaan pen mata bulat menanda kertas undi, tiada khemah khas pada hari penamaan calon, kemudahan mengundi pos kepada warga negara di luar negara dan pekerja media, penyediaan portal PRU13 dan lantikan pemerhati.


Abdul Aziz berkata, perjumpaan itu bagi memohon kerjasama parti politik mematuhi semua undang-undang pilihan raya bermula pembubaran Parlimen hingga selesai PRU13.


“Mereka perlu menghormati SPR sebagai badan bertanggungjawab menguruskan pilihan raya dan memohon persefahaman parti politik untuk berkempen mengikut undang-undang.


“Ini perjumpaan terakhir sebelum PRU13, sebelum ini kami mengadakan 13 pertemuan, kebanyakan pemimpin politik yang hadir berpuas hati dengan penerangan diberikan dan tiada soalan berbangkit,” katanya.


Beliau berkata, SPR menerima 4,669 permohonan mengundi pos daripada warga negara di luar negara tetapi 674 permohonan ditolak kerana tidak layak termasuk tidak mendaftar sebagai pengundi.


Katanya, hanya 3,995 permohonan yang diterima iaitu dari Australia (932), United Kingdom (679), China (377), Amerika Syarikat (274), Qatar (147), Emiriah Arab Bersatu (136), New Zealand (124), Mesir (112), Jerman (102) dan Jepun (99).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08
`