Tempias diabetes pada keluarga

Tempias diabetes pada keluarga

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Diabetes adalah sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah), terutama selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya.


Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) Keempat (2011) menunjukkan seorang daripada lima orang dewasa rakyat Malaysia menghidap diabetes. Ini perbezaan besar berbanding NHMS pertama (1986) hanya 6.3 peratus.


Kajian awal mengenai keputusan sikap, hasrat dan keperluan diabetes 2 (diabetes, attitudes, wishes and needs 2 - DAWN2) di Copenhagen, Denmark baru-baru, mendedahkan bukan saja penghidap diabetes yang menderita akibat penyakit itu, malah ahli keluarga pesakit turut terbeban.


Memfokus pada pelbagai aspek psikososial dalam pengurusan diabetes, ia kajian terbesar seumpamanya dan dijalankan di 17 negara dan empat benua.


Menerusi kajian itu, ahli keluarga pesakit diabetes ditinjau pada julung kali bersama pesakit, jururawat, pakar diet, doktor serta pakar perubatan untuk mencari kaedah baru bagi meringankan beban penyakit diabetes mereka.


Ketua Penyelidik dan Pengerusi Jawatankuasa Sains Antarabangsa, Prof Mark Peyrot berkata, kajian DAWN2 mengesahkan beban fizikal, kewangan dan emosi dalam apa saja budaya serta negara ditanggung setiap ahli keluarga, dan bukan ditanggung pesakit diabetes seorang.


“Keputusan awal menunjukkan, 63 peratus ahli keluarga bimbang kemungkinan pesakit yang tinggal bersama mereka mengalami komplikasi yang serius akibat penyakit diabetes.


“Manakala sebanyak 66 peratus ahli keluarga pesakit yang dirawat dengan insulin bimbang orang tersayang akan mengalami hipoglisemia (kurang gula atau glukosa darah yang rendah) pada waktu malam,” katanya.


Katanya, sebanyak 75 peratus ahli keluarga tidak pernah menyertai sebarang program pendidikan berkaitan diabetes walaupun 70 peratus pakar perubatan diabetes percaya pembabitan ahli keluarga adalah penting dalam penjagaan diabetes yang baik.


“Kira-kira 34 peratus ahli keluarga melaporkan kesan negatif terhadap kekukuhan kewangan disebabkan penyakit diabetes dan 20 peratus ahli keluarga mempunyai pengalaman orang tersayang didiskriminasi disebabkan penyakit diabetes serta masyarakat tempat mereka tinggal tidak bertolak ansur dengan pesakit,” katanya.


Bakal Presiden Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), Sir Michael Hirst pula berkata, kajian DAWN2 membawa butiran saintifik baru yang penting mengenai beban tersembunyi ditanggung ahli keluarga pesakit diabetes serta pelbagai jurang dalam sistem penjagaan kesihatan kini.


“Justeru itu, implikasi penemuan ini terhadap masyarakat adalah mustahak. Tambahan pula, keputusan DAWN2 sepatutnya mendorong pembuat keputusan, pembekal penjagaan kesihatan, perubatan dan organisasi pesakit untuk berganding tangan demi mempertingkatkan pendidikan dan sokongan untuk pesakit serta ahli keluarga mereka,” katanya.


DAWN2 adalah inisiatif global Novo Nordisk yang dijalankan menerusi kerjasama dengan IDF, Gabungan Persatuan Pesakit seluruh dunia atau IAPO, Pusat Diabetes Steno dan pelbagai rakan kongsi negara, rantau serta global yang lain.


Pakar Perunding Endokrinologi, Dr Chan Siew Peng berkata, walaupun Malaysia tidak ada data sendiri, daripada pengalaman klinikal, pesakit diabetes mengalami pelbagai isu yang ditunjukkan dalam kajian DAWN2 yang penting itu.


“Keputusan DAWN2 terus menyokong dan mengesahkan keperluan untuk membangunkan satu kumpulan Penjagaan Diabetes Bersepadu pembekal penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk doktor, pendidik diabetes, ahli farmasi, pakar diet dan ahli psikologi untuk menyalurkan pendekatan pengurusan diabetes yang menyeluruh kepada pesakit.


“Ia soal selidik terbesar seumpamanya dan mengatasi satu keperluan utama penjagaan pesakit diabetes iaitu mengenal pasti beban ditanggung ahli keluarga yang menjaga individu penghidap penyakit kronik ini,” katanya.


Di Malaysia, kita mencapai kemajuan serta peningkatan dalam pengurusan pelbagai penyakit akut, misalnya sakit jantung, strok dan jangkitan.


Yang masih kurang ialah contoh penjagaan kronik yang diperlukan untuk mengatasi pelbagai penyakit kronik seperti diabetes.


Pembekalan pendidikan diabetes yang sesuai serta sokongan psikologi untuk memperkasakan pesakit diabetes serta ahli keluarga yang menjaga mereka penting untuk menjamin motivasi jangka masa panjang serta keupayaan untuk menangani penyakit ini.


DAWN2 adalah seruan untuk menyedarkan semua agensi kesihatan agar memberikan tumpuan kepada komponen pengurusan diabetes yang penting ini.