Isnin,28 Julai 2014

Universiti ‘Tuhan 2013’

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Kuantan: Selain mendakwa dirinya Tuhan 2013, ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ yang ditahan pihak berkuasa pada 4 April lalu juga dipercayai menyediakan sukatan pengajian tersendiri dikenali sebagai ‘Universiti Universal Overhead God’ untuk menyebarkan dakyah kepada pengikutnya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Abd Malik berkata, siasatan awal pihaknya mendapati sukatan pelajaran di ‘universiti merapu’ itu dibahagikan kepada tiga peringkat.


Menurutnya, ia bermula dengan tahap rendah untuk pengikut baru, doktorat bagi peringkat pertengahan dan ‘Doctor World of God’ yang kononnya setaraf ijazah dohtor falsafah (PHD) untuk pengikut tahap paling tinggi.

“Siasatan awal kami juga mendapati lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai mempunyai seramai 312 ahli di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Harian Metro.


Katanya, suspek yang dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan membabitkan kerugian dianggar RM200 juta sejak 2006 juga dipercayai menubuhkan dua persatuan bagi mengutip derma bagi memperoleh dana untuk menjalankan aktivitinya. Mohd Raffli berkata, dua persatuan itu yang menggunakan nama berunsur Islam dan kebajikan dikesan didaftarkan pada 2011 dan 2012 di Kluang dan Skudai, Johor.


“JAIP kini bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di seluruh negara bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan menjejak ahli kumpulan ajaran sesat itu,” katanya.

Lima hari selepas ditahan dalam operasi JAIP iaitu pada 9 April lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menipu seorang kontraktor pada 2008 sehingga mengakibatkan kerugian RM200,000.


Kelmarin, suspek yang turut dikenali sebagai Ustaz Harun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah antara tahun 2006 hingga 2008 membabitkan wang jutaan ringgit.

Berhubung kegiatannya menyebar ajaran sesat Tuhan Harun, suspek dijangka didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan minggu depan mengikut beberapa peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.


Antara pertuduhan ke atas lelaki itu ialah mengajar ajaran salah, memiliki, mencetak, menerbit, mengedarkan dokumen yang salah dan menghina agama Islam.


Mohd Raffli berkata, 31 pengikut lelaki itu termasuk enam perempuan yang ditahan dalam serbuan sama akan didakwa mengikut Seksyen 186 kerana bersubahat dengan Harun terhadap semua kesalahan itu Menurutnya, JAIP juga sudah mengadakan program khas Kursus Bimbingan Rohani (KUBRO) kepada semua pengikut terbabit untuk memberikan penerangan, kesedaran, keinsafan dan pemulihan kepada mereka.


“JAIP juga meminta semua pengikut ajaran sesat yang dianjurkan suspek supaya bertaubat dan mereka turut diminta tampil membantu siasatan dengan memberikan apa saja maklumat yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19
`